Timor-Leste anggota ASEAN ke-11

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Timor-Leste secara rasminya menjadi negara anggota ASEAN ke-11 selepas 14 tahun negara itu memohon untuk menyertai blok serantau itu pada tahun 2011 setelah merdeka pada tahun 2002.

Penyertaan direalisasikan sempena Majlis Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN yang ditandatangani semua 11 pemimpin negara anggota yang dipengerusikan Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim.

Detik penuh bermakna menyusul selepas bendera Timor-Leste dipasang di atas pentas sebaris dengan 10 negara anggota lain, menandakan simbolik penyertaan.

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, dalam ucapan pertama selepas secara rasmi menjadi Negara Anggota ASEAN, berkata perjalanan menuju keanggotaan itu adalah panjang namun penuh makna.

Bagi rakyat Timor-Leste, ini bukan sekadar impian yang menjadi kenyataan, tetapi juga satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap perjalanan kami yang penuh dengan ketabahan, keazaman, dan harapan yang tidak pernah luntur,” katanya.

Selepas merdeka pada 2002, Timor-Leste menyatakan hasrat untuk menjadi anggota ASEAN sebagai sebahagian daripada integrasi rantau dan secara rasminya negara itu memohon menyertai keanggotaan ASEAN pada 2011.

Proses keanggotaan itu memerlukan waktu yang cukup lama berikutan beberapa alasan termasuk Kesediaan Ekonomi, Kapasiti Institusi dan Konsensus Ahli (keputusan untuk menerima ahli baharu ke dalam ASEAN perlu dicapai secara konsensus oleh semua negara anggota sedia ada).

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh, Kemboja, pada November 2022, pemimpin ASEAN pada dasarnya bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN.

Persetujuan itu juga memberikan status pemerhati kepada Timor-Leste dan menggariskan pelan tindakan untuk keahlian penuh, termasuk sokongan kapasiti.

Related posts

Leave a Comment