Terus aktif atasi masalah rasuah

ARAU 17 Mei – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, kemajuan tidak akan dapat dicapai sekiranya amalan rasuah berleluasa dalam kehidupan seharian masyarakat.

Titah baginda, perbuatan seperti meminta, menawar, memberi dan menerima rasuah adalah salah di sisi agama dan undang-undang negara.

Menurut baginda,  menggunakan kuasa dan jawatan demi kepentingan peribadi dan membuat tuntutan palsu juga sebahagian daripada amalan rasuah yang mesti dihindari.

“Amalan rasuah, jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial dan seterusnya boleh mengancam kesejahteraan negara,” titah Tuanku Syed Sirajuddin sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-79 baginda di Istana Arau, di sini hari ini.

Raja Perlis mengingatkan, rasuah dan salah guna kuasa akan memberi kesan langsung kepada pembangunan sesebuah negara.

Meskipun negara dikurniakan dengan kekayaan sumber asli yang melimpah ruah, apabila rasuah dan salah guna kuasa menjadi satu budaya, maka kekayaan negara tidak dapat diagihkan atau diuruskan dengan sempurna.

“Oleh itu, beta berharap pihak berwajib memberi perhatian serius kepada masalah ini dan semua pihak termasuklah setiap individu, masyarakat setempat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut digesa untuk aktif memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi masalah rasuah” titah baginda.

Dalam mengatasi masalah itu juga, Raja Perlis bertitah, perlu proses pemantauan dan semua pihak harus berani tampil melaporkan sebarang kegiatan salah laku kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan lanjut boleh dilakukan.

“Dengan itu, diharapkan amalan rasuah dan salah guna kuasa dapat dicegah daripada menjadi barah dalam masyarakat dan negara. Di samping itu, penerapan nilai-nilai murni dan integriti perlu diterapkan sejak kecil lagi terutama di sekolah agar suatu hari nanti lahir generasi bebas rasuah,” titah baginda lagi.

Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menghadiri Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan di Dataran Istiadat Istana Arau.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selain Menteri Besar,  Azlan Man dan barisan EXCO negeri.

Related posts

Leave a Comment