THE HAGUE – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menolak permohonan rayuan Israel terhadap waran tangkap ke atas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant berhubung perang di Gaza.
Sebelum ini, pada 16 Julai lalu, ICC menolak permohonan itu dengan menyatakan tiada ‘asas undang-undang’ untuk membatalkan waran tangkap sementara isu bidang kuasa masih dalam pertimbangan.
Seminggu kemudian, Israel memohon kebenaran untuk merayu keputusan itu, tetapi hakim pada Jumaat memutuskan bahawa ‘isu yang dibangkitkan Israel bukan perkara yang boleh dirayu’.
“Oleh itu, mahkamah menolak permohonan itu,” menurut ICC dalam keputusan setebal 13 muka surat.
ICC pada November tahun lalu mendapati terdapat ‘alasan munasabah’ untuk mempercayai Netanyahu dan Gallant ‘memikul tanggungjawab jenayah’ atas dakwaan melakukan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Pada masa sama, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga pemimpin tertinggi Hamas, namun waran itu digugurkan selepas kematian mereka.
Waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant mencetuskan kemarahan di Israel serta Amerika Syarikat (AS), yang kemudiannya mengenakan sekatan terhadap beberapa pegawai kanan ICC.
Netanyahu menyifatkan keputusan itu sebagai ‘antisemitik’, manakala Presiden AS ketika itu, Joe Biden, mengecamnya sebagai ‘tidak masuk akal’.
Pada Mei lalu, Israel memohon kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap itu sementara menunggu keputusan cabaran berasingan berkaitan bidang kuasa ICC dalam kes berkenaan.
Nnnn
