BAITULMUQADDIS – Hamas mengecam tindakan tentera Israel menyerbu Masjid Al-Hijra di Beit Hanina, Baitulmuqaddis Timur ketika orang ramai sedang menunaikan solat, kelmarin.
Ahli Biro Politik Hamas, Haroun Nasser al-Din, berkata tentera Israel menghina masjid dengan memakai kasut di dalamnya dan memaksa jemaah menghentikan solat.
Beliau yang juga Ketua Pejabat Hal Ehwal Quds, berkata perbuatan tersebut menunjukkan Israel tidak menghormati piawaian agama dan moral serta gagal mematuhi norma kemanusiaan.
Dalam kenyataannya kepada Agensi Berita Yaman, Saba, Nasser al-Din berkata serbuan itu berlaku di tengah-tengah “perang agama berterusan oleh penjajah” dan serangan terhadap tapak suci, termasuk penodaan masjid, tanah, dan manusia.
Beliau turut memberi amaran mengenai “situasi berbahaya di Quds” akibat serbuan berterusan ke atas Masjid Al-Aqsa, termasuk sekatan terhadap penduduk, pos pemeriksaan tentera, pemeriksaan bas dan warganegara, serta penahanan dan serbuan berterusan.
Dalam video tular berdurasi satu minit 50 saat, seorang tentera Israel dilihat tiba-tiba memasuki masjid dengan memakai kasut, menepuk bahu seorang jemaah dan memeriksa kad pengenalannya.
Tentera itu juga dilihat membawa pergi dua lelaki selepas melakukan pemeriksaan.
