Pas anggap satu ‘drama bersiri’

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Ketika pemimpin UMNO pelbagai peringkat membuat ‘bantahan’ kepada PKR susulan desas-desus penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam parti tersebut, Pas pula menyifatkannya satu ‘drama bersiri’ .

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan demikian berkata, UMNO tahu PKR ialah parti yang diketuai oleh Perdana Menteri sendiri, justeru tidak boleh lawan terlalu kuat sehingga menjejaskan hubungan ‘cikgu-murid’.

Katanya, untuk rekod, ketika PKR sebagai pembangkang pada tahun 2021, terdapat kes yang sama iaitu PKR ‘curi’ ahli dari parti Amanah.

Ia berlaku apabila tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah di Johor menyertai PKR iaitu Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).

Pada tahun sebelumnya, dua ADUN Amanah dari Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) turut meninggalkan parti Amanah dan menyertai PKR.

“Marah parti itu hingga ada yang mencadangkan kaji semula hubungan dengan PKR. Itu ketika jadi pembangkang sudah ada rekod ambil ahli kawan, sekarang jadi kerajaan, tentu lebih tinggi nilainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Itu belum mengambil kira kes bekas timbalan menteri di Perlis baru-baru ini yang asalnya daripada UMNO kemudian umum nak masuk Amanah dan akhirnya isytihar menyertai PKR.

“Jadi, rakyat jangan terpedaya. Mereka sudah bincang elok-elok belakang tabir. Keutuhan parti bagi mereka hanyalah mainan mulut sahaja. Isunya, beras kita, keluarga kita, kita yang kena biayai kosnya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment