NEW YORK – Pengurangan dana secara drastik boleh mengancam operasi bantuan makanan di negara krisis seperti Gaza, Sudan dan Yaman, sekali gus berisiko menyebabkan jutaan orang kebuluran.
Pengarah Kesiapsiagaan Kecemasan dan Tindak Balas Program Makanan Sedunia (WFP) Ross Smith, berkata kekurangan dana memaksa mereka mengurangkan pek makanan dan menangguhkan pengedaran makanan penting.
Katanya, bantuan juga terpaksa dihentikan kepada seluruh populasi di enam kawasan paling terjejas di dunia iaitu Gaza, Sudan, Sudan Selatan, Yaman, Somalia dan Afghanistan.
“Di enam negara ini, kita melihat orang ramai terputus sepenuhnya daripada bantuan. Mereka paling terdedah dan hidup dalam keadaan paling terjejas. Kita kini berada di tahap kritikal,” katanya. dalam laporan bertajuk ‘A Lifeline at Risk’.
Sementara itu, Pengarah Keselamatan Makanan dan Analisis Pemakanan WFP, Jean-Martin Bauer, memberi amaran bahawa 13.7 juta orang dijangka menghadapi kebuluran kritikal tahun ini akibat pemotongan dana.
“Ini bukan teori. Ibu dan kanak-kanak dihalang daripada mendapatkan rawatan dan talian hayat terakhir mereka diputuskan.
“Buat pertama kali dalam sejarah WFP, kita menghadapi dua kebuluran serentak di Gaza dan Sudan, serta bilangan orang dalam keadaan hampir kebuluran telah berganda dalam dua tahun,” katanya.
Menurut WFP, 1.4 juta orang di Gaza, Sudan, Sudan Selatan, Mali dan Yaman kini berada pada tahap kebuluran paling kritikal.
Di Gaza, sekatan akses dan kekurangan dana boleh menyebabkan sebahagian besar penduduk tanpa makanan dalam beberapa minggu.
Situasi di Sudan, krisis kemanusiaan terbesar di dunia semakin membimbangkan. WFP hanya dapat membantu 4.1 juta orang walaupun kapasiti hampir dua kali ganda dan tanpa dana segera, operasi terpaksa dikurangkan.
Secara global, 319 juta orang terjejas oleh kekurangan makanan serius, termasuk 44 juta yang menghadapi kelaparan kecemasan.
WFP berkata, keadaan semakin buruk kerana sesetengah pihak menidakkan krisis di beberapa negara dan menjangka bantuan akan dikurangkan 40 peratus tahun ini dan mungkin lebih teruk pada 2026 jika penderma tidak segera bertindak.
Nnn
