PUTRAJAYA 13 Okt. – Sistem pendidikan negara bukan lagi hanya menekankan pengetahuan semata-mata, sebaliknya perlu memberikan penekanan kepada aspek nilai, moral dan prinsip etika, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri, berkata ketika ini sistem sedia ada mempunyai kecacatan susulan insiden membabitkan buli serta rogol dalam kalangan pelajar akhir-akhir ini.
Kata, kejadian seumpana itu mencerminkan kelemahan sistem pendidikan negara yang terlalu menekankan aspek ilmu pengetahuan semata-mata tetapi mengabaikan nilai moral dan etika yang menjadi asas pembentukan insan berakhlak.
“Macam (isu) buli. Ini baru saya umum hari Jumaat, umum pasal buli memang keputusan dah dibuat, menteri dah sebut…(kejadian) rogol lagi di sekolah.
“Sampai tiap majlis saya di Tambun, satu hari, hari Sabtu jumpa ada dua program di sekolah, itu saya tekankan masalah buli,” katanya pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Oktober di sini, hari ini.
Baru-baru ini, empat pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki SPM disyaki terbabit dalam kes rogol bergilir-gilir terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka.
Anwar menegaskan pendidikan tanpa nilai, tanpa prinsip moral dan etika itu ada kelemahannya.
“Bukan salah guru sahaja, ibubapa, jadi mudah-mudahan kita ada tekad lakukanlah sebaiknya untuk kita, untuk keluarga kita untuk masyarakat kita untuk negara kita,” katanya.
Jumaat lalu pada pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri mengumumkan antara lain peruntukan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) membabitkan usaha membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE).
