PUTRAJAYA 13 Okt. – Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang hari ini memutuskan kesemua empat pelajar yang terlibat dalam kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka, dibuang sekolah serta-merta.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad berkata, mereka bagaimanapun dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sama ada di pusat tahanan, atau tempat yang berasingan.
Bercakap pada sidang media di sini, beliau menegaskan kebenaran utnuk suspek mengambil SPM tidak sama sekali bermakna mereka terlepas daripada hukuman dan ia tidak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan.
Katanya, hak suspek sebagai pelajar dan calon SPM tetap diberikan sementara kes melibatkan mereka akan diputuskan oleh pihak berkuasa.
“Suspek yang terlibat tidak akan mengambil SPM di sekolah mereka, tetapi berada di tempat sama ada di tempat tahanan atau di tempat berasingan dari pusat di sekolah, ,” katanya lagi.
Pada Sabtu lepas, media melaporkan empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan SPM bulan depan, direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di sini minggu lepas.
Dalam pada itu Mohd Azam berkata, KPM bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah, bagi menambah baik garis panduan sedia ada dalam menguruskan hal-hal berkaitan.
Beliau berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai oleh wakil daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), serta agensi yang berkaitan.
“Kesemua dapatan Jawatankuasa Khas atau inisiatif ini kita akan satukan, dan kita akan keluarkan satu garis panduan yang komprehensif. Bukan sekadar garis panduan yang agak terpisah … kita nak satukan jadi garis panduan komprehensif, dan kita akan dapat satu garis panduan yang lengkap dan mudah dirujuk.
“Kita akan keluarkan (garis panduan itu) sebaik semua Jawatankuasa Khas tamat kerja mereka, dan kita (jangka) akan keluarkannya pada bulan 12 (Disember), Menteri akan umumkan Garis Panduan yang telah kita tambah baik dan murnikan lagi mengikut perubahan zaman,” katanya lagi.
Nnnn
