Telur : Abang Mat sedia ‘dedah’ semua

KUALA LUMPUR 8 Mac –  Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menegaskan tidak menyembunyikan sebarang fakta berkaitan dengan inisiatif kerajaan mengimport telur dari India.

Mohamad menyatakan kesediaan untuk mendedahkan sebarang maklumat yang diminta pembangkang atau mana-mana pihak berhubung inisiatif berkenaan.

“Syarikat ini (yang mendapat kebenaran import) J&E. Pergi periksa tengok siapa pengarah dia, siapa pengerusi, periksa. Bagi saya, tidak sembunyi apa-apa, saya akan dedahkan semua. Ini Abang Mat la,” katanya.

Ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Mohamad mengesahkan bahawa J&E Advance Tech sdn Bhd adalah syarikat tunggal yang diberi kebenaran untuk mengimport telur dari India.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan pemberian permit import kepada syarikat itu tidak dibuat secara tender terbuka, memandangkan situasi bekalan telur yang meruncing memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

“Selepas ini, kalau bekalan telur ini pulih, kita akan kurang atau hentikan import. Kalau keadaan meruncing misalnya berlaku banjir atau kehilangan sumber bekalan, kita boleh import menerusi mana-mana syarikat yang bersedia seperti dari Thailand, Turkiye dan negara lain.

“Syarikat ini (yang mendapat kebenaran import) J&E. Pergi periksa tengok siapa pengarah dia, siapa pengerusi, periksa. Bagi saya, tidak sembunyi apa-apa, saya akan dedahkan semua.

“Ini Abang Mat la…Cuma bila jadi kerajaan ini, cakap perlahan sikit. Kalau duduk sebelah sana (pembangkang) memang seronok. Tapi dah duduk sebelah sini, tak mahu la pergi sebelah sana,” katanya disahut ketawa wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Mohamad menzahirkan keyakinan bekalan dan harga telur akan pulih semula kepada keadaan kira-kira lima tahun lalu, di mana Malaysia menjadi antara pengeksport telur terbesar dunia ketika itu.

“Benar lima hingga enam tahun lalu Malaysia pengeksport telur, kita akan kembali ke era itu. Insya-Allah kita akan jayakannya dengan cara membantu, berdialog dan berbincang dengan pengusaha-pengusaha telur yang besar seperti di Selangor.

“Kita usaha sekarang dan berdialog dengan pihak pengeluar telur dan sebagainya, mereka berjanji untuk banjiri pasaran telur dalam waktu terdekat ini, terutamanya menjelang Aidilfitri.

“Dengan keadaan yang lancar, harap tak berlaku lagi bencana besar di mana-mana, kita akan dapat pulihkan kedudukan seperti lima tahun lalu,” katanya.

Beliau memberitahu, kementerian juga dalam usaha mempergiatkan sektor pertanian jagung bijirin dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan bagi sektor penternakan tempatan, sekali gus memulihkan harga ayam dan telur di pasaran.

Berhubung Skim Takaful Tanaman Padi, Mohamad berkata, skim yang dilaksanakan oleh Agrobank itu bakal dilancarkan pada Ogos depan.

Katanya, dengan jumlah perlindungan sehingga RM100 juta setahun berbanding RM15 juta setahun bagi Tabung Bencana Tanaman Padi, skim itu bakal menghasilkan industri padi yang lebih mampan dan lestari selain menyumbang kepada keselamatan makanan negara.

Sementara itu, Jabatan Pertanian telah merekodkan seluas 103,563 hektar tanah terbiar di seluruh Semenanjung dan sangat mengalu-alukan sebarang usaha atau cadangan untuk memajukan tanah terbiar atau belum dibangunkan bagi tujuan itu.

Related posts

Leave a Comment