Mesir, Qatar, Turkiye usaha yakinkan Hamas

PARIS – Mesir memberi amaran konflik akan terus memuncak sekiranya Hamas enggan memberi kata putus positif mengenai pelan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang bertujuan menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza.

Menteri Luar, Badr Abdelatty dalam ucapannya di Institut Hubungan Antarabangsa Perancis pada Khamis menegaskan, Hamas perlu dilucutkan senjata, manakala Israel tidak wajar diberi alasan untuk meneruskan serangan kejam di Gaza.

Katanya, Mesir kini giat bekerjasama dengan Qatar dan Turkiye bagi meyakinkan pasukan pejuang Palestin, Hamas untuk menerima pelan Presiden  Trump.

“Jangan beri ruang kepada mana-mana pihak menggunakan Hamas sebagai alasan untuk meneruskan pembunuhan harian terhadap orang awam. Apa yang berlaku sekarang sudah jauh melepasi peristiwa 7 Oktober (2023).

“Ini bukan lagi soal dendam. Ia adalah pembersihan etnik dan genosid yang sedang berlangsung. Jadi, cukup-cukuplah,” tegas Abdelatty.

White House sebelum ini mendedahkan dokumen 20 perkara yang merangkumi gencatan senjata segera, pertukaran tahanan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas serta penubuhan kerajaan peralihan di bawah seliaan badan antarabangsa.

Trump pada Selasa memberi tempoh tiga hingga empat hari kepada Hamas untuk membuat keputusan.

Sebagai perantara utama, Mesir kini menggandakan usaha diplomasi bersama Qatar dan Turkiye bagi mendapatkan persetujuan Hamas, walaupun Abdelatty mengakui proses itu amat mencabar.

“Jika Hamas menolak, keadaan akan menjadi sangat sukar. Sudah tentu konflik akan lebih parah. Justeru kami menggandakan usaha agar pelan ini dapat dilaksanakan dan diterima Hamas,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap visi Trump menamatkan perang, namun menekankan masih banyak perkara perlu diperhalusi, khususnya aspek tadbir urus dan keselamatan.

“Banyak ruang kosong yang perlu diisi. Kita perlukan lebih banyak perbincangan mengenai pelaksanaan pelan ini, terutama soal pemerintahan dan pengaturan keselamatan,” katanya.

Mesir juga menegaskan tidak akan sesekali menerima sebarang bentuk perpindahan penduduk dalam apa keadaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment