NEW DELHI – Selepas lebih lima tahun dibekukan, India dan China akan menyambung semula penerbangan terus antara bandar-bandar tertentu bulan ini, demikian pengumuman Kementerian Luar India semalam.
Langkah itu dilihat sebagai isyarat awal pelonggaran ketegangan dua hala di mana kali terakhir penerbangan terus antara India dan China beroperasi adalah pada 2020, meskipun China kekal sebagai rakan dagang terbesar India.
Syarikat penerbangan terbesar India, IndiGo, mengesahkan akan memulakan penerbangan tanpa henti setiap hari dari Kolkata ke Guangzhou bermula 26 Okt ini, selain merancang membuka laluan baharu dari New Delhi ke salah sebuah bandar utama China.
Perkembangan ini hadir selepas lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke China bulan lalu – lawatan pertama beliau dalam tempoh tujuh tahun – untuk menghadiri mesyuarat blok keselamatan serantau, Shanghai Cooperation Organisation (SCO).
Dalam pertemuan tersebut, Modi dan Presiden China, Xi Jinping menegaskan bahawa India dan China adalah rakan pembangunan, bukannya pesaing.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan di tengah ketidaktentuan tarif global di mana Modi turut menyuarakan komitmen India untuk memperbaiki hubungan dua hala.
Nnnn
