ALOR SETAR 16 Sept. – Kesetiaan atau walak antara penekanan yang diberi perhatian oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungannya pada Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.
Dalam ucapan hampir dua jam bermula 2.15 petang itu, Abdul Hadi meminta ahli Pas tidak mempertikai keputusan dibuat kepemimpinan Pusat terutama dalam aspek memilih calon pilihan raya dan pelantikan individu ke jawatan utama.
Abdul Hadi tidak menafikan isu ketaatan atau walak masih menjadi masalah besar, justeru beliau meminta calon yang tidak dipilih pada pemilihan Muktamar Pas Pusat tahun ini memberi kesetiaan mereka kepada pemimpin yang dipilih.
“Masalah taat dan walak ini menjadi masalah besar yang mencabar kita. Ada pemimpin dilantik dalam muktamar dan dilantik oleh Pusat, ada mereka dilantik Pusat untuk bertanding pilihan raya dan jadi Menteri Besar.
Menurutnya, pemilihan kepimpinan dalam parti itu ditentukan oleh pucuk pimpinan Pusat secara menyeluruh, bukan mengikut kehendak atau selera pihak tertentu.
Beliau mengingatkan kesetiaan kepada pemimpin merupakan syarat utama dalam perjuangan Islam, selagi mana syarat yang digariskan al-Quran dan Sunnah dipenuhi termasuk menjaga hubungan dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia serta istiqamah dalam ajaran Islam.
“Pemimpin yang dilantik Pusat adalah untuk mentadbir. Ada yang mahu pimpin ikut selera dan puak masing-masing. Pas dengar semua pandangan, tetapi Pusat lihat secara menyeluruh,” katanya.
Katanya, kegagalan ahli berwalak turut dipengaruhi oleh “syaitan” yang bertujuan mahu melihat parti berkenaan berpecah-belah.
“Ini jadi satu masalah pada kita (apabila) ketaatan, walak ini diwas-waskan oleh syaitan (yang) mencelah (bagi) menimbulkan rasa tidak bersepakat. Sepatutnya kita bersatu dalam titik persamaan, tetap bersama walau berbeda pendapat,” katanya.
Tambah beliau, setiap keputusan yang dibuat pucuk pimpinan adalah muktamad selepas mendengar pandangan pelbagai pihak.
“Siapa calon pilihan raya, menteri besar atau pesuruhjaya negeri, semuanya Pusat yang tentukan.
Kalau ada kelemahan pada pemimpin, boleh ditegur dan diberi nasihat. Tetapi siapa sahaja yang dilantik, kita wajib taat. Ini penting untuk kita cepat mencapai kemenangan. Akan tiba masanya Islam akan menang,” tegasnya.
Abdul Hadi dalam ucapannya turut menyentuh beberapa perkara antaranya sejarah kebangkitan Islam dan sejarah politik Islam.
Beliau menegaskan kepemimpinan Islam, Melayu dan Bumiputera adalah tonggak perjuangan Pas dan walaupun menimbulkan kebimbangan kepada pihak tertentu
Pas akan mentadbir secara adil kepada semua kaum tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
“Akan tiba masanya Islam akan menang, kemenangan seperti yang dijanjikan oleh Allah, namun ia akan berlaku pada waktu yang ditentukan-Nya.” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pas juga menghantar isyarat kepada sayap muda partinya agar lebih berhati-hati dalam membuat percaturan.
Katanya, adalah tidak wajar Pemuda Pas bertindak tergesa-gesa dalam langkah mencari kemenangan sebaliknya perlu memberi perhatian kepada gerak kerja mencapai kemenangan.
Beliau yang melihat Pemuda Pas begitu bersemangat untuk melihat parti itu menamakan seorang pemimpin sebagai calon perdana menteri menyampaikan serangkap pantun kepada Pemuda Pas untuk menegaskan pesanannya.
“Dari Kuala Muda pergi ke Ipoh, Berbekal ketupat pergi ke Pangkor; Orang muda memang gopoh, Dah nak melompat nanti tersungkur.”
Abdul Hadi secara berseloroh berkata, Pemuda Pas tidak akan dapat menjawab pantun berkenaan kerana beliau tidak memberikan ruang untuk mereka berbuat demikian.
Pemuda Pas pada muktamar mereka pada Jumaat lalu sebulat suara meluluskan resolusi menggesa kepemimpinan parti mengambil alih tampuk PN kerana beranggapan sudah tiba masanya untuk parti Islam itu mentadbir Malaysia.
Resolusi itu kemudian dibawa ke muktamar utama Pas hari ini dan turut diluluskan oleh perwakilan.
Nnnnn
