ALOR SETAR 16 Sept. – Tindakan Bersatu menamakan calon Perdana Menteri (PM) dan cadangan penggunaan logo yang sama pada pilihan raya disifatkan mendahului ketetapan perlembagaan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata Perlembagaan PN menetapkan sebarang keputusan penting termasuk penggunaan logo pilihan raya dan pelantikan calon PM hanya boleh dibuat melalui Majlis Tertinggi PN.
“Dalam PN tidak ada besar kecil, tidak ada abang besar. Kita ada empat parti komponen dan semua adalah ‘equal partner’. Jadi apa juga keputusan sama ada calon Perdana Menteri atau logo, mesti diputuskan dalam Majlis Tertinggi PN.
Kita agak tidak begitu bersetuju dengan apa-apa pengumuman sama ada calon Perdana Menteri dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut petang ini.
Pada Isnin, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, PN belum memutuskan penggunaan logo bagi PRU16, namun berharap logo sedia ada kekal digunakan oleh calon-calon PN.
Takiyuddin juga mendedahkan bahawa Pas sebelum ini beberapa kali ditawarkan jawatan Pengerusi PN namun menolak kerana ketika itu Muhyiddin dilihat lebih sesuai sebagai bekas Perdana Menteri.
“Kita sudah beberapa kali ditawar menjadi Pengerusi PN. Oleh sebab itu kita sedia menerima sebab kita pernah ditawar untuk mengetuai. Sekarang kita nyatakan kita bersedia untuk menjadi Pengerusi.
“Dahulu kita putuskan kerana keadaan masa itu Muhyiddin mungkin lebih sesuai, beliau bekas Perdana Menteri. Tapi sekarang kita bersedia, kalau kita diminta, kita bersedia. Biasanya Presiden parti jadi pengerusi PN,” katanya.
Terdahulu Perwakilan Muktamar Tahunan Pas Pusat sebulat suara meluluskan usul supaya parti itu memimpin PN sebelum PRU16.
Wakil Dewan Pemuda Pas Mohd Faizuddin Mohd Zai ketika membentangkan usul tersebut berkata Pas perlu mengambil alih teraju dalam PN kerana gabungan pembangkang itu dilihat tepu dan tiada hala tuju yang jelas.
“Kita telah bincangkan isu sosial, isu ekonomi dan kita bincang bagaimana nak selamatkan negara kita. Tetapi, jangan lupa ada satu perkara yang mesti kita selamatkan sebelum kita masuk ke PRU16.
Hari ini orang lihat PN lemau, tepu, tiada hala tuju yang jelas dan hilang fokus,” katanya ketika membahaskan usul itu di bawah tajuk pemerkasaan PN yang kemudian disokong perwakilan untuk dimuktamad pimpinan tertinggi parti.
Katanya, Pas juga mahu meremajakan PN dengan memberi nafas baru sekali gus memberi isyarat kepada rakyat bahawa parti itu sedia memimpin negara.
Beliau juga menyifatkan kenyataan Abdul Hadi supaya calon perdana menteri PN harus seorang yang sihat dan berusia bawah 70 tahun, sebagai isyarat bahawa jawatan itu perlu digalas oleh Pas.
Nnnn
