SALAM buat Pemuda UMNO Malaysia dari Tok Him Putra
19hb Ogos 2025
SAYA akrab dengan Allahyarham Dato’ Harun Idris dan Syed Jaffar Albar semasa menjadi Presiden KSITM (1972-74), kemudian sertai UMNO (1982) dan dipilih menjadi Exco Pemuda UMNO (1984-87). Pernah ditahan ISA 1987 kali kedua kerana perjuangan Ketuanan Melayu yang digerakkan oleh Pemuda UMNO semasa Datuk Seri Najib Razak (DSNR) menjadi Pemangku Ketua Pemuda UMNO terhadap MCA yang persoal ketuanan Melayu. Nostalgia dan semangat ini mendorong saya meluahkan pandangan ini melalui Salam Buat Pemuda UMNO Malaysia.
Saya ucap tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh tampil dengan keberanian seperti isu stokin KK Mart dan bendera terbalik. Malangnya, keberanian itu hanya terhad di gelanggang luar kerajaan dengan individu atau sesiapa yang hina Islam, Melayu dan Kedaulatan Negara seperti pasang bendera terbalik. Dalam isu besar seperti integriti kerajaan, rasuah, keadilan, ekonomi rakyat, Pemuda UMNO membisu. Tidak sama dengan Pemuda zaman Dato’ Harun Idris (pendesak) dan Syed Jaffar Albar (kumpulan halia).
*Pemuda UMNO patut angkat dan terjah isu-isu besar yang merupakan nyawa rakyat dan negara seperti berikut sebagai contoh.
1. Skandal LCS RM11 bilion tapi kapal satu pun belum siap dan
jerung politik atau orang kebal kenyang. Isu ini sudah senyap walaupun billion sudah dibayar. Banyak lagi isu Kementerian Pertahanan (Mindef) dan DYMM Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah dan murka.
2. Pencen RM1.7 bilion pesara tentera tetapi hak mereka terus dinafikan. Mahkamah sudah putuskan.
3. Rasuah, kronisme & salah guna kuasa membunuh demokrasi.
4. Ekonomi rakyat terhimpit, gaji tak naik, cukai bertambah.
5. Isu Farhash jadi “bilionair segera” sedangkan rakyat susah.
7. Kampung & tanah Melayu diroboh, gerai kecil Melayu dilayan seperti penjenayah.
8. Naik taraf Mahkamah Syariah, pemisahan AG & Pendakwa Raya, SPRM bawah Parlimen, semua tergantung.
9. Kes Yusof Rawther & isu pendidikan yang bercangah dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan banyak lagi isu yang melanggar Asas Perlembagaan Negara serta isu keadilan rakyat yang dipandang sepi.
10. Subsidi yang menjadi hak rakyat terutama diesel dan petrol serta pelbagai cukai baru yg menyebabkan kos sara hidup rakyat tertekan yang teruk
Banyak lagi isu yang kini Malaysia berada saperti telur di hujung tanduk.
Peranan Sebenar Pemuda UMNO bukan isu seperti KK Mart atau bendera yang sepatutnya boleh diserahkan pada NGO untuk bertindak. Pemuda sepatutnya jadi semak imbang kerajaan sendiri, berani menegur dan mendesak kerajaan seperti Pemuda Pendesak atau Kumpulan Halia dan bukan sekadar jadi kucing jinak dan menerkam tikus-tikus jahat di luar rumah.
Sejarah akan membezakan pemimpin yang hanya berani setakat isu selamat akan dikenang sementara. Yang berani di medan sebenar dengan isu-isu besar rakyat akan dikenang sepanjang zaman dan pasti Pemuda UMNO akan mendapat sanjungan rakyat dan boleh menampung kecerderaan politik UMNO apabila langgar sumpah *No DAP dan No Anwar*.
Putra walaupun masih muda usianya dan masih kecil tapi Putra besar di medan perjuangan politik demi rakyat, negara dan menegak hukum negara demi keadilan dan kebenaran. Kami tidak berhutang budi dengan sesiapa, hanya tunduk pada rakyat dan berpegang teguh kepada ajaran Islam Amal Maaruf Nahi Mungkar, tegas menggalas Asas Perlembagaan Negara tanpa takut dan tidak mencari laba di tempat yang selamat.
Pemimpin berani di medan sebenar akan dikenang sepanjang sejarah.
Buat semua warga Pemuda UMNO dan jika ada yang tersilap dan tersinggung mohon ampun demi perjuangan sebenar Agama Bangsa dan Negara. Tapi saya tidak apologetik dan rasa bersalah. Niat baik dan ikhlas.
*BERSIH & BERMORAL*
Ikhlas *Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali*(TOK HIM)
*Presiden PUTRA*
