KUALA LUMPUR 19 Ogos – Kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke yang dijadualkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di sini Oktober depan, memberi peluang kepada Malaysia menyatakan pendirian tegas untuk menghentikan kekejaman di Gaza.
Menteri Luar, Mohamad Hasan yang mempertahankan jemputan dibuat ke atas Trump itu, berkata pihaknya melihat ada aspek positif dengan kunjungan Presiden AS itu bagi menyatakan sendiri pendirian Malaysia dan negara ASEAN lain.
“Kita menegaskan boleh jadi nanti kenyataan Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri semasa pembukaan sidang kemuncak nanti berhubung isu ini.
“Melalui pembukaan itu, dapat kita tekankan lagi betapa AS perlu menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah negara besar untuk memastikan supaya keadaan di Gaza ini dapat diselesaikan segera,” katanya semasa sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Hassan Abdul Karim (PH – Pasir Gudang) mencelah dalam sesi penggulungan itu dengan mempersoalkan kewajaran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menjemput Trump sedangkan semua maklum ‘tangan’ Presiden AS itu berlumuran dengan darah rakyat Gaza yang tidak berdosa.
Hassan turut mempersoalkan sama ada Malaysia akan menyambut Presiden AS dengan ‘permaidani merah’.
Mohamad juga menjelaskan bahawa jemputan kepada Trump dibuat atas dasar ketua negara (Malaysia) yang akan mengadakan sidang kemuncak ASEAN nanti.
Katanya, ia tidak boleh dicampuradukkan malah ada baiknya kunjungan terbabit kerana ia boleh dimanfaatkan bagi semua negara ASEAN untuk menyatakan sendiri pandangan mereka terhadap Trump.
“Maka saya rasa ada baiknya juga kita dapat bersemuka dengan semua negara ASEAN seperti mana Malaysia dapat menyatakan sendiri semasa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, datang menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN.
“Jadi kita jangan campur adukkan. Di situ nanti kita rasa kita akan dapat membawa suara ASEAN untuk kita menegaskan betapa ASEAN dengan sebulat suara kesal ke atas kekejaman yang dilakukan rakyat Palestin.
“Jadi jika kita bawa hubungan dua hala ini dan kita yakin pihak AS juga terutama Trump mahu melihat supaya kekejaman yang dilakukan Israel dapat dihentikan,” katanya.
Nnn
