KUALA LUMPUR 19 Ogos – Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir berharap Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertimbangkan pendakwaan yang lebih berat terhadap lima individu yang akan dituduh atas kes buli esok.
Dalam kenyataan, barisan peguam keluarga mangsa itu mahu mereka dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan iaitu melakukan provokasi yang menyebabkan mangsa membunuh diri atau menyebabkan kematian yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ketika ini lima suspek terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas yang sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda atau kedua-duanya.
Susulan itu, barisan enam peguam mewakili ibu Zara Qairina diketuai Hamid Ismail dalam kenyataan bersama hari ini, berkata pihaknya memohon AGC dapat menangguhkan pendakwaan itu untuk sementara waktu.
“Kami memohon Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dapat mempertimbangkan untuk semua remaja terbabit dituduh mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan iaitu melakukan provokasi yang menyebabkan mangsa membunuh diri atau menyebabkan kematian yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan itu, kami berharap supaya siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan itu dan pendakwaan ditangguh seketika.
“Namun, sekiranya kesalahan yang ada sekarang dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa semua remaja bagi kesalahan lebih berat daripada Seksyen 507D (2), kami merayu mereka didakwa dengan kesalahan yang lebih berat itu,” kata peguam Hamid Ismail.
Hamid berkata, barisan peguam khuatir jika pendakwaan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dikenakan, semua tertuduh akan terus mengaku bersalah pada esok atau tarikh berikutnya ketika pertuduhan dibuat.
“Apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan mengikut Seksyen 507D (2) atau kesalahan yang lebih berat daripada itu, mereka (lima remaja terbabit) tidak boleh lagi didakwa atas dasar ‘Double Jeopardy’ yang termaktub dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Sebab itu, kami menulis surat kepada Peguam Negara (berhubung perkara ini) dan sudah dihantar melalui e-mel,” katanya.
Double Jeopardy bermaksud semua remaja terbabit atau suspek tidak boleh didakwa lebih dari sekali mengikut seksyen sama.
Semalam, Mohd Dusuki berkata, lima remaja perempuan akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada Rabu ini (esok) berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina,13, kerana mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam.
Beliau berkata, pertuduhan ke atas lima remaja bawah 18 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.
Prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak lazimnya dilakukan secara tertutup.
