RMK13: PN cadang jawatankuasa rentas parti

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa rentas parti bagi meneliti sasaran yang tidak dicapai dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ahli Parlimen Larut itu berkata pada masa sama, jawatankuasa dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu juga akan meneroka langkah pelaksanaan yang lebih berkesan bagi menjayakan RMK13 dan seterusnya.

“Atas prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban, Yang Amat Berhormat (YAB) Tambun (merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Jemaah Menteri harus ‘walk the talk’ (melaksanakan apa yang dijanji)… jelaskan kepada rakyat, apa sebenarnya berlaku (bagi sasaran yang tidak dicapai).

“Sebuah jawatankuasa khas rentas parti wajar ditubuhkan bagi meneliti jurang pencapaian sasaran RMK12 dan meneroka langkah pelaksanaan lebih berkesan pada masa hadapan.

Tidak salah jika YAB Tambun terlebih dahulu mengambil satu langkah ke belakang untuk bermuhasabah, menilai pencapaian RMK12 lalu bagi memastikan kita semua berpijak di bumi nyata sebelum angka baharu dipersembahkan dalam RMK13.

Saya setuju bahawa RMK13 adalah ikhtiar masa depan Malaysia dan sebab itu, siapa pun yang jadi kerajaan, perlu menerima hakikat bahawa RMK bukan milik eksklusif mana-mana parti tetapi dipunyai oleh kita semua,” katanya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah berrkata, RMK-13 perlu dipandu dengan realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat, bukannya bersandar semata-mata kepada idealisme politik kerana ia bukan manifesto pilihan raya.

Beliau tidak menolak angka dan indikator ekonomi seperti sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi dan aliran pelaburan adalah penting dalam merangka RMK-13.

Namun, apa yang lebih penting, ujar beliau, adalah realiti di lapangan iaitu kehidupan yang lebih pedih dan mendesak yang mana rakyat kini sedang berada dalam kesusahan dan sedang terhimpit.

“Apa makna KDNK berkembang 5.5 peratus jika menurut data Bank Negara, 61 peratus rakyat Malaysia masih tiada simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk kecemasan?

“Apa ertinya inflasi diumumkan 1.1 peratus, kalau harga barang dapur naik hampir setiap minggu? Kita perlu jujur melihat inflasi makanan yang melonjak 2.9 hingga 3.3 peratus, terutamanya di Lembah Klang,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan menjelaskan rancangan untuk membiayai RM430 bilion yang diperuntukkan untuk pembangunan di bawah RMK13 tanpa menambah hutang awam atau membebankan rakyat.

Hamzah menimbulkan kebimbangan mengenai kapasiti fiskal kerajaan, mengingatkan bahawa rancangan bercita-cita tinggi tanpa strategi pembiayaan yang jelas berisiko menjadi angan-angan kosong.

“Tambun (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) mengumumkan jumlah perbelanjaan keseluruhan RMK13 adalah sebanyak RM611 billion bagi tempoh lima tahun pelaksanaan.

“Sebenarnya daripada jumlah keseluruhan tersebut, perbelanjaan daripada poket kerajaan adalah RM430 billion sahaja. Tambahan hanya RM30 bilion daripada RMK12. Tak banyak beza dan RM248.5 bilion bagi RMK11. Bermakna tak banyak bezanya.” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut menarik perhatian mengenai kesan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai lalu.

Menurut beliau, sebelum pelaksanaan SST, harga ikan kembung di Pasar Borong Seri Kembangan, di sini, hanya RM14.80 sekilogram, namun kini meningkat kepada RM18.50 sekilogram, iaitu naik RM3.70 hanya dalam tempoh sebulan.

Lebih mengejutkan apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh menyatakan beras tempatan tidak laku di pasaran.

“Saya tidak tahu suara siapa yang cuba dibela? Adakah Menteri mendengar keluhan rakyat berkaitan kualiti beras yang dijual. Tindak-tanduk beginilah yang menyebabkan rakyat kecewa. Mereka rasa dikhianati. Mereka rasa dihina.

“Inilah sebabnya lautan rakyat berhimpun di Dataran Merdeka baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Hamzah turut mengingatkan yang mana Perdana Menteri sendiri mengakui pertumbuhan ekonomi tidak memberi sebarang makna sekiranya kebebasan dan hak rakyat untuk hidup bermaruah masih dirundung kelaparan, ketidakadilan dan peminggiran.

“Ini memperlihatkan Kerajaan Madani akhirnya bangkit dari tidur. Bila rakyat bangkit dan turun berhimpun, baru diumumkan minyak turun 6 sen,” katanya.

Hamzah juga berkata, kerajaan perlu menjelaskan mengenai semua perkara yang dikompromi dalam rundingan tarif timbal balas dengan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, PN kekal berpendirian bahawa Malaysia mesti berdagang dengan bermaruah, iaitu mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara dalam apa juga tekanan.

“Perang dagang antara kuasa besar menuntut kita untuk lebih berwaspada dalam setiap tindakan dan pertuturan.

“Sebagai sebuah negara dagang, jika kita tidak cermat dalam memposisikan diri, kita akan dipinggirkan di meja rundingan dan tanpa kita sedari, kita hanya diperlakukan sebagai buah catur permainan negara kuasa besar,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment