PH mahu tambah kemenangan kerusi Melaka

MELAKA 9 Ogos – Pakatan Harapan (PH) Melaka memberi fokus untuk meningkatkan jumlah kemenangan kerusi berbanding lima sekarang pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka akan datang.

Justeru Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya sedang meneliti semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengenal pasti kawasan berpotensi untuk ditandingi dalam misi menambah jumlah kerusi.

Katanya, PH Melaka percaya masih mempunyai ruang untuk menambah bilangan kerusi pada PRU DN Melaka akan datang.

“Kita belum muktamadkan jumlahnya lagi, tetapi kita sedang mengenal pasti di mana kelebihan kita. Kita tahu kita ada tiga Parlimen iaitu Alor Gajah, Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya.

Kita ada potensi di setiap kawasan parlimen itu, di samping kawasan yang tidak kita menangi seperti Tangga Batu, Masjid Tanah dan sebahagian kawasan di Jasin,” katanya selepas Program Santuni Madani Bukit Katil di Padang Kolej Vokasional Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Sophian Isswandy Ismail dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Muhamad Zarifi Tumin.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada beberapa kerusi utama yang diyakini mempunyai peluang untuk dimenangi, selain memastikan kesiapsiagaan jentera parti serta menyampaikan khidmat kepada rakyat.

“Kita optimis untuk menambah kemenangan bagi kerusi-kerusi yang sedia ada. Kita akan lihat potensi kerusi-kerusi ini dan kenal pasti kerusi mana yang akan kita tandingi (tambahan).

“Yang paling penting ialah apa yang telah kita berikan dari segi khidmat kepada rakyat. Kita serahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian,” katanya.

Menurutnya, keyakinan itu turut bersandarkan prestasi PH di negeri lain seperti Johor yang masih memenangi beberapa kerusi serta Negeri Sembilan yang mempunyai 11 kerusi.

Dalam perkembangan sama, Adly berkata PH Melaka sentiasa terbuka untuk merundingkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak, namun setakat ini belum mengadakan perbincangan termasuk dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Katanya, sebarang rundingan perlu dibuat terlebih dahulu dalam kalangan wakil PH negeri sebelum sebarang langkah seterusnya diambil.

Nnn

Related posts

Leave a Comment