PENAMPANG 9 Ogos – Penyertaan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (UPKO) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diputuskan pada 8 Jun lalu, mampu memperkukuh kestabilan politik negeri.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Hajiji Noor, berkata kemasukan UPKO adalah perkembangan positif dalam landskap politik, juga memantapkan kerjasama parti tempatan dalam usaha membangunkan negeri itu..
“Sebenarnya, apabila kita menerima permohonan daripada UPKO untuk menyertai GRS, kita melihat itu sebagai satu petanda positif dalam perkembangan politik di Sabah dan kita menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-32 UPKO dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 bertempat di Dewan Hongkod Koisaan, Pusat Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, malam ini.
Hajiji berkata, kestabilan politik akan memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memberi tumpuan terhadap agenda pembangunan rakyat, kemakmuran ekonomi serta kemajuan infrastruktur.
“Dengan jaminan kestabilan politik, sudah pasti lebih mudah untuk kerajaan negeri memberi fokus kepada agenda pembangunan rakyat, kemakmuran ekonomi negeri dan kemajuan infrastruktur di Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh pimpinan dan ahli UPKO untuk bersama-sama menjayakan wawasan Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper, selain memperkukuh perpaduan serta kerjasama semua parti komponen GRS.
Hajiji juga menghargai sokongan Presiden UPKO, Ewon Benedick, dan ahli parti berkenaan sepanjang beliau menerajui Kerajaan Negeri bagi melaksanakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 yang kini diteruskan menerusi SMJ 2.0.
Menurutnya, pelantikan Ewon sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan membawa tanggungjawab besar bagi memastikan agenda pelaburan, pembangunan perindustrian dan keusahawanan di Sabah direalisasikan selaras dengan matlamat SMJ 2.0.
Katanya, walaupun parti komponen GRS mempunyai asas perjuangan dan latar belakang berbeza, semua parti berkenaan berkongsi matlamat sama untuk memperjuangkan kepentingan Sabah dan rakyatnya.
“GRS ini adalah rumah kita, rumah yang harus kita jaga bersama; rumah yang memayungi perjuangan kita, perjuangan demi rakyat dan negeri tercinta,” katanya.
Nnnn
