Tahniah damaikan Thailand, Kemboja

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Perikatan Nasional (PN) mengucapkan tahniah dan syabas atas peranan Malaysia dan Perdana Menteri Ibrahim dalam usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja, sehingga gencatan senjata dicapai.

Ketua Pembangkang,  Hamzah Zainuddin, berkata pembabitan Malaysia itu adalah usaha bagi memperkukuh kestabilan di rantau ASEAN, sekali gus membawa nama Malaysia terus kekal dihormati sebagai negara yang berdaulat.

“Apa pun peranan yang dimainkan Yang Berhormat Tambun (Anwar Ibrahim) walaupun ada yang menyifatkan hanya sebagai tuan rumah (Pengerusi ASEAN), ia tetap menjadi peranan yang akan tersemat dalam lipatan sejarah.

“Apa yang penting, Malaysia terus kekal dihormati sebagai sebuah negara yang berdaulat dan terus dipandang tinggi sebagai kuasa pengimbang yang kompetitif dalam rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Isnin lalu, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Anwar bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.

Hamzah juga menyeru supaya Malaysia terus konsisten memperjuangkan keamanan sejagat serta berani menyuarakan pendidiran tegas dalam menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan, memandangkan pelbagai konflik kini melihatkan persekitaran geopolitik dunia begitu rapuh.

“Krisis kemanusiaan dan genosid berterusan di Gaza, perang di Eropah Timur, sengketa berpanjangan di Asia Barat begitu juga antara Thailand dan Kemboja, tentunya memberi kesan kepada Malaysia baik secara langsung mahupun tidak langsung.

“Bagi memelihara kepentingan diplomasi dan strategik negara dari segenap sudut, maka Perdana Menteri, Menteri Luar serta seluruh anggota Jemaah Menteri memikul amanah besar untuk memastikan setiap kenyataan dan tindakan mereka sentiasa bersifat tersusun dan terukur,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment