Bersatu masih kekal komponen PN

TAIPING 9 Ogos – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setakat ini masih kekal sebagai parti gabungan Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusi PN Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, kedudukan itu tidak berubah meskipun terdapat pemimpin Bersatu dilaporkan mempertikaikan keabsahan kepemimpinan jawatankuasa PN kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Setakat hari ini (9 Ogos), Bersatu masih lagi ahli Perikatan Nasional. Walaupun isu kedudukan Bersatu dalam PN agak unik kerana terdapat laporan bahawa beberapa Ahli Parlimen Bersatu sendiri sudah mengemukakan aduan kepada RoS mengenai keabsahan kepimpinan parti itu.

Justeru, kita juga mahu melihat sejauh mana keabsahan berkenaan dipersoalkan oleh RoS. Buat masa ini, mereka kekal sebagai anggota PN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak ke-23 di sini, hari ini.

Ditanya sama ada PN akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kedudukan Bersatu dalam gabungan itu, Samsuri berkata keutamaan mereka kini adalah membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal menjelang serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Saya percaya keutamaan nombor satu dalam PN sekarang ialah bagaimana untuk memastikan kita memenangi sebanyak kerusi yang mungkin dalam PRN Melaka, iaitu perkara paling dekat, dan pastinya di peringkat Persekutuan.Jadi tiada agenda lain yang perlu dibincangkan,” katanya.

Samsuri turut ditanya mengenai laporan bahawa pemimpin Bersatu berhasrat membawa perkara itu kepada RoS berikutan perbezaan pendapat mengenai kedudukan parti tersebut dalam PN.

Beliau berkata, pemimpin Bersatu bebas mengambil apa sahaja tindakan yang dianggap wajar, dengan syarat ia mematuhi undang-undang.

“Negara kita mempunyai peraturan serta undang-undang yang ditetapkan. Maka terpulang kepada mereka langkah apa yang mahu diambil, asalkan mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Mengenai kritikan terhadap dirinya, termasuk dakwaan beliau menjadi “boneka”, Samsuri berkata, beliau tidak akan campur tangan terhadap apa sahaja yang diperkatakan oleh pihak lain.

“Itu terpulang kepada mereka. Saya tidak boleh hentikan mereka daripada berkata apa sahaja yang mereka mahu. Mereka ada hak untuk berkata apa sahaja yang mereka ingin katakan,” katanya.

Jumaat lalu, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mendakwa keahlian Bersatu dalam PN tergugur secara automatik susulan pengumuman presidennya,  Muhyiddin Yassin bahawa parti itu akan membentuk sebuah gabungan baharu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata langkah tersebut selari dengan perlembagaan gabungan terbabit.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali semalam, membidas kenyataan berkenaan dan menegaskan parti itu masih dalam parti komponen PN.

Menurut Azmin, dakwaan bahawa Bersatu sudah digugurkan daripada gabungan itu bercanggah dengan Perlembagaan PN kerana tiada mana-mana fasal yang memperuntukkan pengguguran keanggotaan sesebuah parti secara unilateral.

Beliau turut menegaskan sebarang keputusan berkaitan kedudukan parti komponen perlu dibuat mengikut peruntukan dan tatacara yang ditetapkan dalam Perlembagaan PN.

Related posts

Leave a Comment