KUALA LUMPUR 4 Ogos – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berisiko untuk tergendala sekiranya enam tingkah laku politik dan birokrasi yang berterusan tidak ditangani, kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Bekas Menteri Ekonomi itu yang menyifatkan tingkah laku tersebut sebagai tabiat yang sudah berakar umbi jika tidak dikawal boleh menghalang pelan pembangunan lima tahun itu daripada mencapai kesan yang dihasratkan.
Justeru katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, adalah penting untuk kerajaan dan pembangkang, perkhidmatan awam dan rakyat mengamalkan pemikiran jangka panjang dan konsisten.
Menurut Rafizi, perangai pertama adalah amalan apabila bertukarnya sesebuah kerajaan, rancangan yang dirangka dibuang walaupun ia baik.
Malahan jika menteri pun bertukar, kebiasaannya rancangan yang telah dipersetujui sebelum ini akan dibuang dan kerajaan akan berbelanja baharu untuk buat rancangan baharu itu.
Katanya, jika rancangan dan sasarannya baik, ia perlu dikekalkan malahan dibuat lebih baik oleh kerajaan yang baharu.
Perangai kedua yang perlu dibuang adalah sikap seseorang yang tidak akan menyokong RMK13 kerana idea berkenaan bukan datang daripada pihaknya walaupun idea itu telah melalui proses yang baik.
Seterusnya, perangai ketiga adalah menyokong terlebih dahulu, tetapi membantahnya di kemudian hari.
“Perangai orang kita suka sangat sokong depan, bila masa nak buat, mudah untuk ‘sailang’ (cantas) kerana selepas itu tak jadi, bajet itu insya-Allah akan dapat padanya,” katanya.
Beliau berkata perangai seterusnya adalah sikap sesetengah pihak yang bersifat tunggu dan lihat mengenai kejayaan rancangan Malaysia.
“Banyak organisasi sebenarnya yang betul-betul bertungkus lumus untuk buat kerja 20 peratus sahaja. 80 peratus itu, dia tunggu dan lihat.
“Mula-mula dia tengok, kalau jadi dia ‘tunggang’. Dia sama naik selepas itu walaupun awal-awal dia duduk jauh. Kalau tak jadi, 80 peratus secara berjemaah akan menuding jari. Kalau ini berlaku dalam RMK13, ‘marilah’ kerajaan hebat macam mana pun, semua akan tergendala,” katanya.
Perangai kelima pula, berkait rancangan dan pelaksanaannya yang berbeza iaitu rancang lain, buat lain.
“Dalam RMK13, anjakan nak buat ini semua bagus. Bila sampai kepada rancangan yang dikemukakan untuk menterjemahkan peruntukan setiap tahun, ia tidak ada kena mengena RMK dan anjakan dasar yang dibuat,” katanya.
Seperkara lagi, kata Rafizi, rancangan berkenaan telah dibuat sebelum ini.
