Ronnie Liu sertai PBM

KUALA LUMPUR 9 Ogos  – Selepas tiga tahun berada di luar parti politik, bekas pemimpin kanan DAP, Ronnie Liu mengumumkan keputusannya untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan Larry Sng, Ahli Parlimen Julau, Sarawak.

Bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Selangor itu mengumumkan demikian  pada sidang media yang yang turut dihadiri Sng.

Menganggotai DAP selama 41 tahun dan berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu selama beberapa penggal, Liu  menjadi ADUN Pandamaran (2008 hingga 2013), selain pernah berkhidmat sebagai Exco Selangor, sebelum mewakili DUN Sungai Pelek  (2018 hingga 2022).

Liu meninggalkan DAP pada Jun 2023 susulan tidak puas hati terhadap langkah kepemimpinan meminda perlembagaan parti berhubung penamatan keahlian.

Pindaan berkenaan membolehkan wakil rakyat DAP hilang keahlian secara automatik sekiranya mereka tidak mematuhi pendirian parti berhubung isu teras, yang disifatkan Liu sebagai tidak demokratik.

Sementara itu, penyertaan Liu dijangka membantu memperluas pengaruh PBM di Semenanjung Malaysia.

Menurut Liu, beliau percaya generasinya masih mempunyai tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada usaha membangunkan negara berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

Liu yang memuji PBM sebagai entiti yang “tidak berasaskan kaum dan tidak berteraskan teokrasi”, berkata beliau akan memainkan peranan semak dan imbang dengan mengkritik ahli politik lain secara adil.

“Ahli politik tidak perlu takut kepada saya. Selagi mereka melakukan perkara yang betul, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Tetapi jika mereka melakukan sesuatu yang kurang manis, jangan harap saya akan berdiam diri,” katanya.

Beliau menambah pengalaman luasnya dalam arena politik akan membantu PBM menonjolkan diri sebagai parti yang memberi tumpuan kepada tadbir urus.

Katanya, rakyat membawa aspirasi untuk mendapatkan keadaan kehidupan yang lebih baik secara kekal sama walaupun berlaku perubahan politik.

Beliau turut mendakwa rakyat Malaysia kini sudah “muak” dengan politik yang membawa “tenaga negatif dan cara lama”. Kami membawa satu bentuk politik baru dan dari semasa ke semasa, anda akan melihat bagaimana kami berbeza daripada gaya politik lama,” katanya.

Sementara itu,, Sng berkata Liu belum diberikan jawatan rasmi dalam parti kerana mesyuarat agung tahunan mereka hanya akan diadakan tahun depan.

“Walaupun belum mempunyai jawatan sekarang, (Liu) akan memainkan peranan penting dalam proses membangunkan PBM.Saya mahu beliau bersuara… perkara paling penting ialah kita ada untuk bersuara bagi pihak mereka (rakyat).

“Sama ada kita mampu mengubah sesuatu atau tidak, itu adalah perkara kedua,” katanya yang yakin dengan keupayaan Liu.

Sng yang menjadi wakil tunggal PBM di parlimen – berkata beliau memberikan “kepercayaan penuh” kepada Liu untuk mengurus dan menjalankan operasi parti di Semenanjung mengikut kemampuan terbaiknya.

“Kami mahu membina sebuah parti yang benar-benar bersifat nasional. Matlamatnya bukan sekadar perluasan organisasi, tetapi juga meningkatkan keupayaan tadbir urus. Saya yakin pengalaman Liu mampu memberikan sumbangan penting kepada pembangunan PBM,” katanya.

Related posts

Leave a Comment