TURNBERRY – Selepas rundingan berbulan-bulan, Amerika Syarikat (AS) akhirnya memeterai perjanjian perdagangan asas dengan Kesatuan Eropah (EU), yang menyaksikan tarif import 15 peratus dikenakan ke atas kebanyakan barangan EU.
Tarif itu hanya separuh daripada kadar yang diumumkan sebelum ini dan perjanjian itu sekali gus mengelakkan perang perdagangan lebih besar antara dua sekutu yang merangkumi hampir satu pertiga perdagangan global.
Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, mengumumkan perjanjian itu selepas pertemuan selama sejam di padang golf mewah milik Trump di barat Scotland.
Trump ketika bercakap kepada pemberita, memuji rancangan EU untuk melabur sekitar AS$600 bilion (RM 2.53 trilion) di AS dan secara ketara meningkatkan pembelian tenaga serta peralatan ketenteraan AS.
Menurut Trump perjanjian itu, yang melebihi perjanjian bernilai AS$550 bilion (RM 2.32 trilion) dengan Jepun minggu lalu, akan memperkukuh hubungan antara kuasa besar trans-Atlantik selepas apa yang disifatkannya sebagai layanan tidak adil terhadap pengeksport AS selama bertahun-tahun.
Trump berkata perjanjian itu membabitkan komitmen EU untuk membeli tenaga dari AS bernilai AS$750 bilion (RM 3.17 trilion) dalam beberapa tahun akan datang serta ‘ratusan bilion dolar’ perolehan ketenteraan.
Ini dijangka memberi manfaat besar kepada beberapa syarikat gergasi Eropah seperti Airbus, Mercedes-Benz dan Novo Nordisk sekiranya semua butiran dipersetujui.
Sementara itu, Von der Leyen, menyifatkan Trump sebagai perunding yang tegas, sambil memaklumkan tarif 15 peratus yang dikenakan adalah ‘merentasi semua sektor’ dan menyifatkannya sebagai ‘yang terbaik dapat dicapai’.
“Ini adalah satu perjanjian besar. Ia akan membawa kestabilan dan ketelusan,” katanya kepada media.
Nnnn
