Calon Bebas parti Imran kuasai 102 kerusi

ISLAMABAD : Walaupun bertanding atas tiket Bebas dengan pelbagai simbol, calon yang mendapat sokongan parti bekas perdana menteri, Imran Khan, dilaporkan mendominasi Pilihan Raya Umum (PRU) Pakistan yang berlangsung 8 Februari lalu.

Calon Bebas yang mewakili Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Imran memenangi 102 kerusi diikuti Parti Muslim League-Nawaz (PML-N) memperoleh 73 kerusi manakala Parti Rakyat Pakistan (PPP) meraih 54 kerusi.

PML-N merupakan parti pimpinan bekas perdana menteri Nawaz Sharif manakala PPP diterajui bekas menteri luar Bilawal Bhutto Zardari.

PTI tetap menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun parti itu berdepan pelbagai cabaran, termasuk pemimpin utama dan pemimpin kanan ditahan manakala simbol parti tidak boleh digunakan.

Dewan Rakyat Pakistan mempunyai 336 kerusi dengan 60 kerusi dikhaskan untuk wanita dan 10 untuk bukan Islam.

Bebas bagaimanapun tidak dapat membentuk kerajaan dan memandangkan tiada parti yang memenangi majoriti mudah, kerajaan baharu perlu dibentuk melalui rundingan.

Muttahida Qaumi Movement-Pakistan (MQM-P) yang memenangi 17 kerusi dilaporkan akan mengadakan perbincangan dengan ketua PML-N mengenai kemungkinan untuk mengadakan kerjasama pada Ahad.

Lebih 90,500 pusat pengundian dibuka bagi membolehkan 128.5 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Related posts

Leave a Comment