Thailand-Kemboja bawa isu ke PBB

BANGKOK – Thailand dan Kemboja mengemukakan isu ketegangan di sempadan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), dengan Thailand menggesa permusuhan dihentikan segera dan kembali ke meja rundingan.

Kemboja pula memohon campur tangan antarabangsa sambil memberi amaran bahawa pertempuran berterusan boleh menjejaskan kestabilan rantau ini.

Bercakap pada mesyuarat tertutup UNSC di New York, Duta dan Wakil Tetap Thailand ke PBB, Cherdchai Chaivaivid, mengulangi penolakan Thailand terhadap penggunaan kekerasan sebagai jalan untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa.

Beliau menekankan komitmen tegas Thailand terhadap penyelesaian secara aman sejajar dengan Piagam PBB.

Thailand menggesa Kemboja menghentikan serta-merta semua permusuhan dan serangan, serta menyambung semula dialog secara jujur,” katanya kepada Majlis itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan kepada media.

UNSC mengadakan sesi tergempar pada Jumaat bawah agenda ‘Ancaman Terhadap Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa’, dengan memberi tumpuan kepada konflik sempadan Thailand-Kemboja susulan insiden yang meragut nyawa itu.

Cherdchai berkata, Thailand telah berusaha secara aktif untuk berunding dengan Kemboja sepanjang dua bulan lalu melalui pelbagai mekanisme dua hala, termasuk Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC), bagi menyelesaikan perbezaan dan mengelakkan ketegangan daripada terus meningkat.

Sementara itu, Duta dan Wakil Tetap Kemboja ke PBB, Chhea Keo, meminta PBB dan ASEAN campur tangan bagi membantu menyelesaikan pertikaian sempadan itu.

Beliau berkata, campur tangan segera masyarakat antarabangsa amat diperlukan memandangkan konflik itu telah menyebabkan ribuan rakyat Kemboja berpindah untuk menyelamatkan diri.

“Kami turut menyeru dengan segera kepada semua anggota Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB, ASEAN, serta rakan dan sekutu antarabangsa kami.

“Jika konflik ini berlarutan, keamanan dan kestabilan seluruh rantau Asia Tenggara akan terancam.

“Kini masanya untuk menghentikan pencerobohan bersenjata yang tidak diprovokasi dan menyalahi undang-undang terhadap Kemboja,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan di Phnom Penh.

Dalam pada itu, Cherdchai menegaskan Thailand menganggap Kemboja sebagai jiran rapat dan rakan dalam keluarga ASEAN.

Beliau mengakui bahawa seperti banyak negara jiran lain, Thailand dan Kemboja pernah melalui pelbagai cabaran serta perselisihan – namun, ia mesti ditangani melalui dialog dan bukannya keganasan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment