WASHINGTON – Iran tidak akan menghentikan program nuklearnya, termasuk proses pengayaan uranium walaupun loji berkaitan mengalami kerosakan serius akibat serangan udara Amerika Syarikat (AS) bulan lalu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, bagaimanapun berkata, buat masa ini, kegiatan untuk mempertingkatkan kandungan uranium itu terpaksa dihentikan buat sementara susulan kerosakan teruk yang dialami.
“Sudah tentu kami tidak boleh menyerahkan begitu sahaja usaha ini kerana ia adalah hasil kejayaan saintis kami sendiri,” katanya, yang menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kebanggaan negara.
Beliau menyatakan komitmen itu ketika rancangan temu bual ‘Special Report with Bret Baier’ terbitan Fox News.
Ditanya sama ada bahan uranium yang diperkaya berjaya diselamatkan daripada serangan itu, Araghchi tidak mempunyai maklumat terperinci tetapi Pertubuhan Tenaga Atom Iran sedang menilai tahap kerosakan bahan dan fasiliti nuklear negara itu.
Araghchi turut mengesahkan bahawa Iran akan meneruskan usaha membangun dan menghasilkan peluru berpandu sambil menegaskan bahawa pihaknya masih mempunyai sejumlah besar peluru berpandu untuk mempertahankan diri.
