GAZA – Beberapa kemudahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diserang tentera Israel yang kini memperluaskan operasi ketenteraan ke bandar Deir el-Balah, tengah Gaza, kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Beliau berkata Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memasuki kediaman kakitangan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, memaksa wanita dan kanak-kanak keluar berjalan kaki, manakala kakitangan lelaki digari, dibogelkan dan disoal siasat sambil senjata diacukan ke arah mereka.
Tedros turut mengecam serangan terhadap gudang utama WHO di Deir el-Balah dan menyatakan sokongan terhadap gesaan gencatan senjata yang bukan sahaja perlu tetapi sudah terlalu lewat,
Terdahulu, lebih 20 negara Barat menggesa supaya peperangan lebih 21 bulan itu dihentikan serta-merta dengan menyatakan penderitaan di Gaza mencapai tahap paling teruk, krisis kemanusiaan serius terhadap lebih dua juta penduduk Gaza.
Sekutu Israel termasuk Britain, Perancis, Australia, Kanada dan 21 negara lain serta Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan kenyataan bersama menegaskan peperangan harus dihentikan sekarang.
“Penderitaan orang awam di Gaza sudah sampai ke tahap yang sangat kritikal,” kata kenyataan itu, sambil menggesa gencatan senjata dirunding segera, tebusan dibebaskan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa halangan.
Bagaimanapun, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, mengecam kenyataan negara Barat terbabit, sambil berkata tekanan antarabangsa sepatutnya ditujukan kepada Hamas.
Duta Amerika Syarikat (AS), Mike Huckabee pula menyifatkan kenyataan bersama itu sebagai ‘menjijikkan’.
Mesir, yang menjadi pengantara utama rundingan, menyatakan sokongan terhadap gesaan berkenaan.
Serangan terhadap Deir el-Balah memuncak hari ini selepas tentera Israel sehari sebelumnya mengarahkan penduduk berpindah, memberi amaran bahawa operasi besar akan dilancarkan di kawasan yang sebelum ini bukan lokasi pertempuran aktif.
Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menganggarkan, antara 50,000 hingga 80,000 orang berada di kawasan itu ketika arahan pemindahan dikeluarkan.
PBB juga merekodkan sekurang-kurangnya 875 orang awam terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan sejak akhir Mei lalu iaitu selepas Israel mula melonggarkan sekatan bantuan yang berlangsung lebih dua bulan.
“Kami mengecam pemberian bantuan yang terlalu sedikit serta pembunuhan kejam terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak, yang hanya cuba mendapatkan keperluan asas seperti air dan makanan,” kata kenyataan itu.
Nnnn
