PUTRAJAYA 21 Julai- Sembilan lokasi di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, setakat pukul 2.30 petang ini, meningkat berbanding lapan pada sebelah pagi.
Menurut maklumat laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), lokasi berkenaan ialah Alor Gajah di Melaka yang masih mencatat bacaan tertinggi dengan IPU 157.
Ini diikuti Kemaman, Terengganu (154); Johan Setia, Selangor (152); Banting, Selangor (152); dan Temerloh, Pahang (152); Seremban di Negeri Sembilan (151); Balok Baru, Kuantan, Pahang (145); Cheras, Selangor (133); dan Nilai, Negeri Sembilan (113).
Selain itu, APIMS turut merekodkan sebanyak 56 kawasan mencatat status kualiti udara pada tahap sederhana, manakala tiga lagi pada tahap baik.
Pada sebelah pagi, setakat pukul 8.20, lapan lokasi seluruh negara dilaporkan mencatat bacaan IPU tidak sihat didahului Alor Gajah (159), Nilai (158); Mentakab, Pahang (156); Banting (155); Cheras (152); Johan Setia (152); Putrajaya (123) dan Bukit Rambai, Melaka (103).
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, pula berkata laporan dikeluarkan oleh ASEAN Specialized Meteorological Centre (ASMC) mendapati terdapat 79 titik panas di kawasan Sumatera.
Katanya ia berkemungkinan menjadi punca keadaan berjerebu di negara ini yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.
Untuk panduan, bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik; 51-100 (sederhana); 101-200 (tidak sihat); 201-300 (sangat tidak sihat); dan lebih 300 (berbahaya).
Nnnm
