Boleh ‘merayau-rayau’ bulan depan?

PUTRAJAYA 27 Sept. – Boleh ‘merayau-rayau’ ke mana-mana di Malaysia mulai bulan depan? Itu bayangan yang diberi oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang

mencadangkan kebenaran merentas negeri pada pertengahan bulan depan, jika kadar pelalian terhadap Covid-19 mencapai 90 peratus penduduk dewasa.

Pengerusi MPN, Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu sedang diperhalusi oleh menteri terbabit untuk dibincangkan lagi minggu ini, termasuk membuka semula sempadan negara, yang ditutup sejak Mac tahun lalu.

Cadangan itu juga akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat.

“Rentas negeri berdasarkan kepada data dengan kadar vaksinasi sudah meningkat hampir ke 90 peratus. Kalau dimaklumkan tadi, kemungkinan dalam bulan Oktober sama ada awal atau selewat-lewatnya pertengahan Oktober.

“Jadi, saudara bolehlah pergi merayau ke mana-mana di Malaysia ini tetapi sentiasa ingat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Muhiyiddin berkata, beberapa kementerian akan meneliti kewajaran membuka semula sempadan negara kepada pelancong asing.

“Soal isu pembukaan sempadan kita, saya bangkitkan tadi dan ada respons. Ini sedang diperhalusi oleh Menteri-menteri yang terbabit untuk dibincangkan dalam minggu ini juga.

“Apakah kewajarannya supaya sempadan negara kita dibuka untuk membolehkan Malaysia dan rakyat kita pergi ke luar negeri? Di mana diterima, disebabkan mereka semua sudah diberikan suntikan dos lengkap?

“Kita lihat sama ada sempadan akan dibuka untuk membolehkan pelawat, peniaga, usahawan, pelancong datang ke negara kita. Salah satu daripada keputusan yang saya fikir akan membawa kesan yang besar kepada negara kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment