KUALA LUMPUR 21 Julai – Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Shabery Cheek dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Beliau sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Felda pada 1 Julai, 2023, sebelum kontraknya tamat pada 30 Jun, 2025.
Jabatan Komunikasi Strategik Felda dalam kenyataan hari ini juga memaklumkan pihak pengurusan dan seluruh warga Kumpulan Felda menyambut baik pelantikan semula itu.
Felda yakin dengan pengalaman, wawasan serta komitmen tinggi, Ahmad Shabery akan terus membawa Felda melangkah lebih jauh seiring dengan hasrat Malaysia Madani.
Sementara itu, Ahmad Shabery menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui Felda.
Sebelum ini, Felda dalam kenyataan semasa kontrak berakhir Jun lalu berkata, Ahmad Shabery telah memainkan peranan besar dalam memperkukuh semula ekosistem antara Felda dan anak syarikat, terutama dalam mempercepat penyahsenaraian FGV Holdings Berhad sekali gus mengembalikan keyakinan rakan strategik serta mempertingkatkan imej dan prestij Felda.
“Pendekatan beliau diterjemahkan melalui gagasan ‘Segalanya FELDA’ yang kini menjadi teras penyatuan organisasi dan komuniti,” kata kenyataan itu.
Nnnn
