Kontrak katering kepada syarikat tiada sijil halal

KUALA LUMPUR 21 Julai – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) didapati menganugerahkan kontrak katering tiga tahun bernilai RM25.64 juta kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan syarikat itu, yang dikenal pasti sebagai 0267299-T, memperoleh tender untuk membekalkan makanan kepada pesakit di HCTM sejak Februari 2024 hingga Februari 2027.

Menurut laporan itu, perolehan tender tersebut bertujuan ‘menyediakan sajian makanan yang halal kepada pesakit HCTM bersesuaian dengan status Dapur Utama yang telah mendapat pensijilan halal daripada Jakim’.

Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendapati jawatankuasa penilaian teknikal HCTM tidak mengesyorkan 0267299-T kerana gagal dalam penilaian teknikal, disebabkan ketiadaan sijil halal dan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP)

Menurut jawatankuasa, syarikat itu juga gagal dalam penilaian teknikal kerana tidak berpengalaman serta tidak mempunyai bilangan pramusaji dan troli makanan yang mencukupi untuk pesakit.

Audit mendapati jawatankuasa penilaian teknikal menilai 12 pembida, dengan markah lulus ditetapkan pada 85% dan ke atas. Hanya dua pembida lulus penilaian teknikal, manakala 0267299-T adalah antara 10 syarikat yang gagal, hanya memperoleh 53%.

Bagaimanapun, syarikat itu akhirnya dipilih kerana memenuhi kriteria jawatankuasa penilaian kewangan, menurut laporan audit.

HCTM juga didapati menganugerahkan kontrak berasingan untuk pembekalan peralatan perubatan kepada sebuah syarikat yang tidak disyorkan oleh jawatankuasa penilaian teknikal kerana mesin pemecut linearnya (Linac), yang digunakan untuk rawatan kanser, gagal memenuhi keperluan integrasi dengan sistem sedia ada di HCTM.

Akibatnya, beberapa peralatan perubatan penting, termasuk mesin Linac, simulator CT (digunakan dalam terapi radiasi) dan ‘contrast injectors’ (digunakan untuk pengimejan dipertingkat) lewat dibekalkan.

Peralatan ini dijadualkan untuk dihantar sebelum 18 September tahun lepas. Ketika audit dijalankan, mesin Linac tersebut masih belum dihantar, mencatatkan kelewatan selama 122 hari.

Kelewatan pembekalan peralatan LINAC, CT-Simulator dan mesin Contrast Injector mengikut tempoh yang ditetapkan menjejaskan perkhidmatan HCTM manakala kelewatan memulakan rawatan memberi impak kepada ‘survival’ pesakit melibatkan 20 pesakit dengan tempoh menunggu antara satu hingga lapan minggu.”

Terdahulu, Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, tiga tender UKM bernilai RM58.45 juta diberikan kepada syarikat yang tidak disokong oleh jawatankuasa penilaian.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment