Institusikan mekanisme undi tidak percaya

SEPANG 21 Julai – Kerajaan didesak supaya menginstitusikan mekanisme undi tidak percaya dengan lebih jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang seperti Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, ia turut meliputi keperluan mewujudkan prosedur khusus undi tidak percaya dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi memastikan proses dijalankan secara berperlembagaan.

Dalam kenyataannya, Bersih mencadangkan agar semua ahli Dewan Rakyat diberikan hak mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri (PM) secara sah di sisi Perlembagaan dan memperkenalkan mekanisme yang lebih konstruktif iaitu mekansime Undi Tidak Percaya Berkonstruktif.

“Mekanisme ini adalah jalan tengah antara memberikan hak kepada Ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan ketidakpercayaan kepada PM namun tidak memberikan ruang itu wewenang agar tidak disalahgunakan untuk menyahstabilkan politik,” kata Bersih.

Menurut Bersih, mekanisme ini memerlukan pihak yang membawa usul undi tidak percaya kepada PM untuk mendapatkan sekurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat yang lain serta membawakan calon PM alternatif.

Sekiranya calon PM alternatif tidak mendapat sokongan majoriti mudah di Dewan Rakyat, maka penyandang PM perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya.

Bersih mengingatkan isu kepercayaan kepada PM – yang mempengaruhi kepercayaan kepada kerajaan – bukanlah hal yang ringan.

Demokrasi perlu mempunyai keseimbangan antara memberi ruang kepada Ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan suara tidak percaya mereka secara institusi di peringkat Parlimen dan juga untuk Perdana Menteri menunjukkan bahawa beliau masih mempunyai sokongan serta keyakinan di Dewan Rakyat.

“Hal ini penting untuk kestabilan politik negara tanpa menafikan kewujudan situasi yang memerlukan undi tidak percaya kepada PM di bawa ke Parlimen,” kata Bersih.

Related posts

Leave a Comment