KOTA BHARU 5 Sept. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil tindakan positif untuk menggantung pemakaian baju oren bagi orang kena siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah untuk tujuan permohonan reman.
Justeru Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man menyambut baik keputusan itu kerana tindakan mengenakan pemakaian baju oren dan gari memberi persepsi seolah-olah OKS terbabit sudah bersalah atau sedang menghadapi pendakwaan.
“Saya sangat bersetuju (dengan keputusan SPRM itu). Mereka (OKS) baru dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman atau sambung reman, belum lagi ada pertuduhan.
“Jadi, apabila dipakaikan baju oren, digari dan sebagainya, mereka seolah-olah sudah bersalah atau sedang dibicarakan di mahkamah.
Justeru, saya rasa tindakan SPRM itu (menggantung pemakaian baju oren) agak positif… untuk niat baik. Kita tidak boleh mengaibkan seseorang yang baru direman,” katanya selepas Ceramah Perdana Jubli Intan 75 Tahun Pas Pusat, di sini, lewat malam tadi. Hadir sama ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Media sebelum itu melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, individu yang ditahan SPRM tidak lagi perlu memakai ‘baju oren’ ketika dibawa ke mahkamah untuk prosiding reman
Perdana Menteri menjelaskan bahawa kelonggaran itu sudah dimaklumkan, kelmarin.
Susulan itu, SPRM dilaporkan menggantung pemakaian baju oren bagi OKS yang dibawa ke mahkamah untuk tujuan permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta, semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, dalam kenyataannya berkata langkah itu diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah.
Beliau berkata, OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan di lokap.
Bagi pemakaian gari pula, katanya, ia bergantung pada keadaan tertentu dan dikecualikan kepada OKS yang uzur, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta warga emas.
Nnn
