KOTA BHARU – Penyatuan bukan bermaksud mengorbankan prinsip, tetapi menyuburkan kekuatan ummah, mengurus perbezaan dengan adab dan mendahulukan maslahah Islam.
Perwakilan Pas Kawasan Indera Mahkota, Nasrudin Hassan Tantawi, berkata penyatuan ummah juga ini adalah tuntutan wahyu, bukan sekadar strategi politik.
Bagaimanapun selepas beberapa kali usul penyatuan dibuat, ia menemui kegagalan disebabkan terdapat ‘batu api’ yang membakar jambatan atau ‘tangan ghaib’ menggoncang keadaan untuk menggagalkan agenda penyatuan ummah.
“Harapnya kali ini tiada lagi ‘batu api’ membakar jambatan yang sudah didirikan, tiada lagi ‘tangan ghaib’ bermain silap mata untuk menggagalkan agenda ini,” katanya ketika menyokong Usul Memperkasa Agenda Penyatuan Ummah ke Arah Pengukuhan Kekuatan Politik Melayu-Islam dan Kestabilan Negara pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di sini, hari ini.
Usul itu dibentangkan oleh Ustaz Zulqarnain Hassan yang mewakili Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) yang kemudiannya diluluskan sebulat suara oleh perwakilan.
Nasrudin yang juga menteri Kabinet turut mengingatkan ahli, pemimpin dan penyokong parti itu menjadikan media sosial sebagai medan penyatuan, bukannya perpecahan.
“Ahli, pimpinan dan penyokong perlu diasuh supaya isu perbezaan kecil yang berlaku dalam kalangan kita tidak dijadikan peluru atau senjata untuk merosakkan penyatuan.
“Jangan kerana kita hanya mahu menang satu hujah berdepan netizen di media sosial, kita kehilangan 1,000 hati yang mendekati perjuangan Islam yang kita dukung,” katanya.
Sementara itu, Zulqarnain ketika membentangkan usul menggesa Pas Pusat memimpin Agenda Penyatuan Ummah secara istiqamah, terancang dan berterusan demi kepentingan Islam, umat, kestabilan negara serta keadilan kepada rakyat.
Katanya, kesatuan umat Islam merupakan antara asas penting kepada kekuatan umat, kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kesejahteraan negara.
Beliau mengingatkan bahawa perpecahan politik dan persaingan kepartian yang berpanjangan boleh melemahkan kekuatan umat serta keupayaan menentukan hala tuju negara.
“Penyatuan ummah hendaklah menjadi agenda strategik yang merentasi kepentingan parti dan pilihan raya, berasaskan prinsip Islam, persefahaman dan kepentingan umat serta negara.
Prinsip dan Matlamat Penyatuan Ummah hendaklah berteraskan Islam serta mempertahankan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, hak Melayu dan Bumiputera serta Bahasa Melayu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, di samping menjamin keadilan dan hak sah seluruh rakyat.
Agenda ini perlu membina kekuatan politik Melayu-Islam yang kukuh, matang dan berwibawa untuk mewujudkan pemerintahan stabil, berintegriti serta mampu menangani isu ekonomi, kos sara hidup, rasuah, pendidikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau juga meminta Pas memperluaskan dialog dan kerjasama dengan parti politik Melayu-Islam, ulama, NGO, profesional, akademik, generasi muda serta pihak yang mempunyai titik persamaan dalam kepentingan Islam, umat dan negara.
Katanya, semua bentuk kerjasama hendaklah mengambil kira fiqh al-waqi‘, fiqh al-muwazanat, fiqh alawlawiyyat dan maslahah umat tanpa menggadaikan prinsip perjuangan Islam serta tertakluk kepada ketetapan Majlis Syura Ulamak dan Pas Pusat.
Beliau turut menggariskan enam perkara untuk diambil tindakan Pas Pusat dalam menjayakan agenda perpaduan ummah iaitu:
1. Menetapkan Penyatuan Ummah sebagai agenda strategik nasional PAS yang dilaksanakan secara terancang dan berterusan.
2. Memperluaskan dialog dan muzakarah dengan parti politik, ulama, NGO, profesional, akademik dan tokoh Melayu-Islam.
3. Mewujudkan atau memperkukuh mekanisme khusus Penyatuan Ummah bagi menyelaras dialog, kajian strategik dan pembinaan jaringan.
4. Mengusahakan Piagam Penyatuan Ummah berteraskan Islam, Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, kepentingan Melayu-Bumiputera serta hak sah seluruh rakyat.
5. Memperkukuh kerjasama strategik politik Melayu-Islam, termasuk strategi menghadapi PRU bagi mengurangkan perpecahan undi Melayu-Islam, tertakluk kepada keputusan kepimpinan parti.
6. Memperluaskan Penyatuan Ummah melangkaui politik kepada bidang ekonomi, pendidikan, sosial, dakwah, media, profesionalisme dan pembangunan generasi muda.
Nnnn
