Israel serang kota Damsyik

DAMSYIK – Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di ibu kota Syria, Damsyik dan memusnahkan sebahagian bangunan Kementerian Pertahanan dan menyerang kawasan berhampiran Istana Presiden.

Serangan itu berlaku selepas tentera kerajaan menyerang kaum Druze di selatan Syria.

Sejak kebelakangan ini, serangan oleh Israel semakin ketara ketika Syria di bawah pentadbiran sementara pimpinan Presiden Ahmed al-Sharaa, walaupun hubungan negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) semakin rapat.

Israel bagaimanapun menyifatkan pemimpin baharu Syria sebagai pelampau jihad yang berselindung dan tidak akan membenarkan sebarang penempatan tentera di selatan Syria, serta berikrar untuk melindungi komuniti Druze di kawasan itu, atas permintaan masyarakat itu di Israel sendiri.

Sementara itu, AS yakin pertempuran dijangka reda tidak lama lagi dan sudah berhubung dengan semua pihak yang terbabit dalam konflik di Syria.

“Kami sudah bersetuju dengan langkah-langkah khusus yang akan menamatkan situasi yang membimbangkan dan mengerikan ini malam ini,” kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio di media sosial semalam.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dijadualkan bersidang hari ini untuk membincangkan konflik itu.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Syria melaporkan puluhan mayat termasuk orang awam, ditemui di sebuah hospital di bandar itu.

Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria menyatakan 169 orang terbunuh dalam keganasan minggu ini, manakala sumber keselamatan meletakkan angka korban pada 300.

Related posts

Leave a Comment