PUTRAJAYA 14 Julai – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menggesa siasatan dijalankan terhadap dakwaan wujud campur tangan dalam sistem kehakiman, selain isu kebocoran dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC).
Katanya, dakwaan itu yang diperkuatkan lagi dengan laporan polis yang dibuat perlu disiasat dengan telus bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.
“Siasatan boleh dimulakan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan dengan menubuhkan tribunal bebas yang terdiri daripada sekurang-kurangnya lima orang hakim kanan.
Langkah ini akan membantu memperkukuh kepercayaan umum terhadap sistem dan institusi negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Nurul Izzah menghadiri perhimpunan dan menyertai barisan peguam, orang awam dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjalan dari Istana Kehakiman menuju Pejabat Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan, kehadirannya bersama-sama Majlis Peguam Malaysia adalah bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman serta mengamalkan hak untuk berhimpun secara aman, hak yang dijamin oleh Perlembagaan dan didukung oleh Perdana Menteri.
“Saya pernah bersuara ketika Kerajaan PN mencabul demokrasi dengan menutup Dewan Rakyat. Saya juga bersuara ketika Tun Mahathir tak tunai janji semasa jadi PM7. Saya perlu bersuara hari ini supaya Kerajaan Madani kekal pertahan institusi kehakiman.
Saya hadir sebagai rakyat Malaysia yang prihatin untuk mendengar dan menyaksikan sendiri, serta menzahirkan solidariti terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh Badan Peguam,” katanya.
Menurut Nurul Izzah, dalam sebuah demokrasi yang berfungsi, pemisahan kuasa antara badan kehakiman, eksekutif dan legislatif wujud untuk memastikan tiada satu pun cabang kuasa yang bebas bertindak tanpa akauntabiliti.
“Prinsip semak dan imbang ini bukan sekadar teori, ia adalah asas yang melindungi kebebasan rakyat. Badan kehakiman yang bebas merupakan benteng terakhir yang menghalang penyalahgunaan kuasa oleh eksekutif, Kabinet dan kerajaan secara keseluruhan.
Malah, badan kehakiman juga berperanan menegur Parlimen sekiranya undang-undang yang diperkenalkan bersifat menindas atau bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya.
Bagaimanapun , sistem ini hanya boleh berfungsi apabila badan kehakiman bebas sepenuhnya daripada campur tangan – sama ada dari dalam atau luar.
Sehubungan itu, katanya, sesiapa yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara; Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Hakim Malaya dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak mestilah berlandaskan kebolehan dan kelayakan serta memiliki tahap integriti moral yang tinggi dalam menjalankan amanah tersebut.
Beliau juga menarik perhatian bahawa kes penyalahgunaan kuasa sebelum ini termasuk membabitkan pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan pendedahan skandal peguam VK Lingam, mampu merosakkan asas keadilan.
“Namun, insiden-insiden inilah juga yang telah membakar semangat untuk memastikan kebebasan badan kehakiman terus dipertahankan,” katanya.
Nnnn
