Dua varieti baharu padi MR CL3 dan MR CL4

PASIR SALAK 16 Julai – Dua varieti baharu padi, MR CL3 dan MR CL4 diperkenalkan hasil kerjasama strategik antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan BASF (Malaysia) Sdn Bhd sejak 20 tahun lepas.

Dua varieti baharu padi itu adalah untuk menangani isu berkaitan padi angin, dan merupakan padi yang dibiakkan khusus untuk mempunyai ciri rintangan terhadap racun rumpai imidazolinone.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, MR CL3 dan MR CL4 mempunyai kelebihan matang lebih awal iaitu selama 99 hari dengan potensi hasil melebihi tujuh tan sehektar.

Katanya, kedua-dua varieti itu juga mempunyai ketahanan terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta dapat dimanfaatkan di bawah program inisiatif KPKM seperti penanaman padi lima kali dua tahun dan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Cleafield Baharu MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi FELCRA Berhad di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kaedah pengkomersilan varieti itu akan dilaksanakan melalui Sistem Pengeluaran Clearfield yang merangkumi varieti padi, racun rumpai imidazolinone (Trek) dan garis panduan penggunaan yang bertujuan mengawal masalah padi angin.

Sementara itu, bercakap kepada media, beliau memaklumkan, Majlis Benih Negara yang kini di peringkat penelitian akhir akan dilancarkan tidak lama lagi.

Beliau berkata badan penyelaras itu merupakan institusi penting bagi memastikan kawal selia industri benih negara supaya tidak dimonopoli oleh syarikat atau negara tertentu.

“Biarlah benih ini diuruskan dengan cara yang tertib dan kita ada satu lembaga benih negara untuk mengawal apa sahaja benih bersifat tumbuhan atau ternakan di Malaysia ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata antara fungsi utama majlis berkenaan ialah mewujudkan sistem repositori atau pusat penyimpanan rasmi bagi semua jenis benih pertanian dan ternakan tempatan.

“Pusat benih padi akan menjadi repositori semua jenis benih yang kita ada dalam negara dan kalau ada apa-apa yang berlaku, kita boleh gunakan repositori untuk menghasilkan benih-benih pada masa depan,” katanya.

Pada Jun lalu, KPKM dalam satu mesyuarat memutuskan MARDI diberikan mandat sebagai peneraju Hab Benih Negara, selain menubuhkan majlis penasihat yang dibarisi pelbagai pakar bagi membangunkan badan penyelarasan berkenaan.

Malaysia kini masih bergantung hampir sepenuhnya pada benih import, termasuk 90 peratus benih sayur dan benih tembikai bernilai RM2.7 juta.

Related posts

Leave a Comment