KUALA LUMPUR 11 Julai – Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan hadir pada perhimpunan rakyat pada 26 Julai ini tetapi tidak ‘turun padang’ pada Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman, minggu depan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak akan hadir perarakan Majlis Peguam itu kerana bukan peguam.
“Tetapi mesyuarat (himpunan) yang dianjurkan sekretariat yang mana mereka yang terbabit bukan sahaja peguam, tapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) orang dari parti politik itu ada yang itu saya hadir
Himpunan pada 26 Julai ini adalah rally (himpunan) rakyat yang tidak mengira kaum, parti, NGO, NGI, jadi orang perseorangan pun kalau nak hadir, boleh hadir,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Al Bukhary, di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir menyertai sesi sidang meja bulat Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman kali kedua yang dihadiri beberapa pemimpin parti politik; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan barisan peguam.
Turut hadir Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mukhriz Mahathir; Setiausaha Agung Pas yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional PN, Takiyuddin Hassan.
Dr Mahathir turut mengatakan, kerajaan yang berintegriti tidak sepatutnya menghalang himpunan atau kumpulan rakyat yang berhimpun.
“Kerajaan tidak sepatutnya menghalang perhimpunan. Kita mendapati kerajaan menghalang segala (himpunan) kumpulan rakyat sampaikan sambut hari jadi pun tak dibenarkan, hingga kena mencari tempat (sambutan) lain.
“Semua tidak boleh dibuat, kerajaan tidak membenarkan buat itu, ini dan gesa supaya tidak mempolitikkan perkara berkaitan pelantikan hakim, semua dihalang.
“Jadi apa orang politk boleh buat, tidak boleh itu, tidak boleh ini, tidak boleh (cakap) adendum, mempolitikkan isu jual saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan dikaitkan dengan 3R iaitu raja, agama dan kaum sudah jadi 4R. Jadi kita sekarang membisu seribu bahasa, tidak boleh cakap langsung,”katanya.
Himpunan 26 Julai itu dikenali juga Himpunan Turun Anwar sebagai satu manifestasi besar rakyat Malaysia yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Anwar Ibrahim.
Ditanya mengenai wujud keperluan Majlis Raja-Raja (MRR) campur tangan membantu kemelut pelantikan jawatan kehakiman, Dr Mahathir menyatakan ia tidak perlu berikutan Raja-Raja tidak terbabit dalam hal politik.
“Raja-raja tidak terbabit dalam hal politik, berparti dan sebagainya, tetapi apabila sesuatu masalah timbul yang membawa kepada perpecahan politik hingga kita tidak dapat buat apa-apa, sehingga tidak boleh persidangan Dewan (Parlimen) kita kena rujuk kepada MRR.
“Ini tidak disebut dalam Perlembagaan tetapi seperti saya kata ada demonstrasi berjuta orang, Perdana Menteri kena berhenti,” katanya.
Nnn
