2 menteri jalan tugas bukan ketandusan calon

PUTRAJAYA 11 Julai – Langkah memilih dua anggota Kabinet menjalankan tugas serta fungsi di dua kementerian yang dikosongkan menteri terdahulu bukan disebabkan kerajaan ketandusan calon pengganti.

Sebaliknya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kedua-dua menteri berkenaan hanya menjalankan tugas portfolio berkenaan hingga pelantikan baharu dibuat.

Beliau mengulas pemilihan Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, manakala Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan di Kementerian Ekonomi.

“Sekarang, kita minta Amir Hamzah menjalankan tugas dan Johari Ghani menjalankan tugas… kemudian jalankan dengan baik, tidak payah terburu-buru.
“(Mereka) menjalankan tugas ini hingga (ada) pelantikan baharu,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara,  Shamsul Azri Abu Bakar, memaklumkan bahawa Amir Hamzah serta Johari masing-masing diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Menurut Shamsul Azri, Perdana Menteri, telah bersetuju dan memaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang bersidang pada Rabu lalu.

“Perdana Menteri memaklumkan Jemaah Menteri yang bersidang peada 9 Julai 2025 bahawa beliau bersetuju supaya Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa serta-merta,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Sebelum ini Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi manakala Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Rafizi dan Nik Nazmi berbuat demikian selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada Pemilihan PKR yang berlangsung di Johor Bahru pada Mei lalu.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment