JAKARTA – Susulan peningkatan kos perjalanan ibadah haji bagi 2026, pemerintah Indonesia mengambil langkah menyerap kenaikan mendadak itu yang disebabkan lonjakan harga minyak sejagat dan risiko geopolitik di Asia barat.
Menteri Haji dan Umrah, Mochamad Irfan Yusuf, berkata jumlah keseluruhan kos berkaitan haji meningkat 26.5 peratus atau 1.77 trilion rupiah (hampir RM408 juta), daripada 6.69 trilion rupiah (RM1.54 bilion) kepada 8.46 trilion rupiah (RM1.95 bilion).
“Kenaikan ini sebahagian besarnya disebabkan peningkatan harga minyak mentah yang memberi kesan langsung kepada kos penerbangan jemaah haji, serta caj tambahan berkaitan risiko,” katanya dalam sidang bersama Anggota Parlimen.
Menurut beliau, tambahan kos 1.77 trilion rupiah itu berpunca daripada cadangan syarikat penerbangan yang membawa jemaah haji Indonesia ke Arab Saudi, termasuk Garuda Indonesia dan Saudia Airlines.
Garuda memohon tambahan 974.8 bilion rupiah (RM224.7 juta), manakala Saudia Airlines mengusulkan kenaikan sebanyak 802.8 bilion rupiah (RM185 juta).
Menurut Irfan, walaupun berlaku peningkatan kos yang ketara, Presiden Prabowo Subianto, mengarahkan supaya beban tambahan itu tidak dipindahkan kepada jemaah.
Bagi menampung kekurangan itu, pemerintah merancang menggunakan dana haji yang dikenali sebagai Biaya Penyelenggaraan Ibadah Haji (BPIH), iaitu dana khusus bagi membiayai keperluan berkaitan ibadah haji.
Beliau menambah bahawa kos penerbangan bagi petugas yang mengiringi jemaah akan ditanggung sepenuhnya oleh belanjawan negara.
Indonesia menerima kira-kira 220,000 kuota anggota jemaah setiap tahun daripada Arab Saudi, namun, mempunyai sekitar 5.7 juta pendaftar di seluruh negara dengan
tempoh menunggu bagi program haji biasa kini boleh mencecah sehingga 26 tahun.
