Hakim: PN sarankan PM ambil cuti

SEPANG 10 Julai – Perikatan Nasional (PN) disarankan agar Anwar Ibrahim  mengambil cuti dan seorang Perdana Menteri Interim dilantik untuk menjalankan tanggungjawab, bagi menghilangkan prejudis terhadap proses pelantikan hakim.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata, PN menjunjung kasih ke atas titah Istana Negara yang mahukan isu pelantikan hakim ditangani dengan cermat dan berintegiriti, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Memang jelas Perkara 122B menyebut bahawa pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Pun begitu, dalam keadaan Perdana Menteri hari ini mempunyai konflik kepentingan peribadi, memandangkan beliau sendiri berdepan dengan beberapa saman sivil di mahkamah, adalah munasabah serta wajar untuk pelbagai pihak merasa curiga tentang wujudnya campur tangan politik dalam soal pelantikan hakim.

Sehubungan itu, adalah disarankan agar Perdana Menteri mengambil cuti dan seorang Perdana Menteri Interim dilantik untuk menjalankan tanggungjawab, khususnya di bawah Perkara 122B,” katanya dalam satu kenyataan.

Hamzah berkata, langkah itu juga dapat mengelakkan persepsi umum yang mengaitkan Perdana Menteri terlibat menentukan hakim-hakim yang akan membicarakan kes beliau, – demi menjaga integriti, kebebasan dan kemuliaan institusi kehakiman negara.

Terdahulu, Istana Negara menegaskan pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dan integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Istana Negara dalam kenyataannya berkata, mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara.

“Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695] merupakan undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati YDPA adalah terletak kepada Perdana Menteri,” kata kenyataan itu..

Menurut kenyataan itu, hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh YDPA tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Nnn

Related posts

Leave a Comment