PETALING JAYA 11 Mac – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bersetuju mengekalkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu, kata Setiausaha Agung, Hamzah Zainuddin.
Dalam satu kenyataan malam ini, keputusan itu dibuat pada satu mesyuarat khas MPT Bersatu hari ini.
“MPT sebulat suara menolak peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.
“Ini kerana MPT menegaskan bahawa pertuduhan ke atas Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden Bersatu dan bukannya pertuduhan atas kapasiti peribadi,” katanya yang memaklumkan mesyuarat khas itu dipengerusikan Muhyiddin.
Hamzah berkata, barisan MPT memohon semua ahli dan penyokong bersabar serta bertenang dalam menghadapi ujian besar ini.
Beliau berkata, bukan saja presiden, malah parti itu sendiri sedang berdepan fitnah dan kezaliman.
Muhyiddin kini berdepan enam pertuduhan mahkamah membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi PN itu, berdepan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM195 juta.
Sementara itu, Hamzah mewakili MPT Bersatu turut menzahirkan ucapan tahniah kepada sayap baharu SRIKANDI Muda yang berjaya menganjurkan konvensyen hari ini .
Beliau berkata, MPT turut menerima laporan sayap Srikandi dan Armada, yang selesai mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) masing-masing.
