Sanusi saran tanam buluh di tebing sungai

SUNGAI PETANI 10 Julai – Menteri Besar Kedah,  Muhammad Sanusi Md Nor, mencadangkan supaya kawasan tebing Sungai Korok ditinggikan dan ditanam pohon buluh madu bagi mengurangkan risiko kemalangan di laluan itu.

Katanya, selain pemasangan pagar penghadang dan lampu jalan, pohon buluh yang ditanam juga dijangka berupaya menjadi penahan untuk mengelak kenderaan terjunam ke dalam sungai itu.

Malah, beliau berkata, kaedah itu dilihat lebih menjimatkan kos dan mesra alam, terutama di kawasan yang masih memiliki rizab tanah berdekatan sungai bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu.

Beliau mengemukakan cadangan itu susulan tragedi kereta terjatuh ke dalam sungai itu sehingga mengorbankan enam beranak, baru-baru ini.

“Ada cadangan supaya diletak pagar penghadang. Namun, saya akan mencadangkan penanaman buluh kepada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Mutiara Bandar Puteri Jaya Fasa 7 di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, penanaman itu disaran menggunakan buluh madu kerana ia berbeza dengan buluh lemang, selain lebih kukuh sebagai penghadang dan harganya lebih murah berbanding pemasangan pagar penghadang.

Katanya , kos memasang pagar penghadang sejauh satu kilometer (km) boleh mencecah RM400,000 dan jika sepanjang 15km, kos akan mencecah RM6 juta.

“Jika tanam buluh, mungkin lambat sikit hendak matang tetapi kalau memasang pagar penghadang pula, sekiranya tidak ada duit, lagi lambat pasang atau mungkin tidak jadi langsung,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada JKR untuk pertimbangan teknikal mengikut kesesuaian lokasi memandangkan tidak semua kawasan sesuai dipasang pagar penghadang.

“Ada kawasan tertentu yang tanahnya masih luas, sesuai ditanam buluh. Namun jika kawasan sempit dan berisiko, mungkin perlu memasang pagar penghadang juga. Kita perlu tengok keperluan dan kemampuan juga sebelum boleh pasang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ada cadangan daripada pihak tertentu agar dibina tebing tanah sebagai penghadang fizikal memandangkan jalan berkenaan lurus dan kenderaan boleh dihentikan dengan berkesan sekiranya ada tembok tanah di pinggir sungai.

“Kalau buat tebing tanah di tepi jalan, dengan kelajuan 50km sejam pun kenderaan tidak sempat jatuh sungai… ia akan terhenti dekat tembok itu. Itu pun salah satu cadangan yang kita akan pertimbangkan.

“Kita bagi cadangan berdasarkan keupayaan kewangan. Namun, memang ada keperluan. Ini untuk keselamatan orang ramai,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan meneliti cadangan untuk membina pagar penghadangdan memasang lampu jalan di sepanjang laluan berhampiran Sungai Korok susulan tragedi yang meragut nyawa sepasang suami isteri bersama enam anak mereka itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment