WASHINGTON – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-249 Amerika Syarikat (AS), Presiden Donald Trump menandatangani Rang Undang-Undang (RUU) cukai dan perbelanjaan utamanya pada majlis gilang-gemilang di Rumah Putih semalam.
Dalam ucapannya, Trump berkata:”Amerika sedang menang, menang, menang seperti tidak pernah berlaku sebelum ini,”
Parti Republikan sebulat suara menyokong RUU ‘One Big Beautiful Bill’ itu dan meluluskannya di Kongres yang mulanya enggan meluluskannya, tepat pada masa Trump menandatanganinya sempena cuti sambutan ulang tahun kemerdekaan.
Majlis dimulakan dengan dua pesawat pengebom B-2, jenis yang digunakan dalam serangan ke atas tapak nuklear Iran baru-baru ini yang terbang rendah di ruang udara Rumah Putih sambil diiringi jet pejuang di sisinya.
Juruterbang yang terbabit dalam serangan ke atas Iran turut dijemput menghadiri majlis di Rumah Putih itu.
Kelulusan RUU tidak popular itu menandakan kejayaan penting buat Trump dalam tempoh dua minggu termasuk kejayaan memeterai gencatan senjata antara Iran dan Israel, hasil serangan udara Amerika yang disifatkan beliau sebagai ‘tanpa cela’.
Sebagai seorang yang dikenali dengan pendekatan penuh simbolisme, Trump menggabungkan pelbagai kejayaan politiknya dalam satu acara berunsur teater politik sempena ulang tahun kemerdekaan daripada Britain.
RUU mega yang ditandatangani Trump bukan sahaja memenuhi beberapa janji utama kempennya, malah turut mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan ahli parti dan rakyat berhubung kesannya terhadap hutang negara serta kebajikan sosial.
RUU itu merangkumi peluasan pemotongan cukai dari penggal pertama pentadbiran Trump, peningkatan perbelanjaan ketenteraan dan suntikan dana besar bagi menyokong operasi besar-besaran pengusiran pendatang tanpa izin.
“Ini adalah pemotongan perbelanjaan terbesar dan anda mungkin langsung tidak menyedarinya,” kata Trump yang ditemani Wanita Pertama, Melania Trump.
Walaupun menghadapi tentangan dalaman daripada Parti Republikan sendiri termasuk bantahan lantang bekas sekutunya, hartawan Elon Musk, Trump tetap berjaya memaksa RUU itu diluluskan.
Ia hanya melepasi undian terakhir di Dewan Perwakilan dengan sokongan perbezaan undi kecil 218-214, selepas Speaker Dewan dari Parti Republikan, Mike Johnson berusaha keras sepanjang malam mendapatkan sokongan blok terakhir yang masih ragu-ragu.
Namun, RUU ini dijangka meningkatkan defisit negara sebanyak AS$3.4 trilion (RM14.35 trilion) dalam tempoh sedekad.
Lebih membimbangkan, ia turut membawa kepada pemotongan besar terhadap program bantuan makanan persekutuan dan skim insurans kesihatan Medicaid untuk golongan berpendapatan rendah sekali gus menyaksikan pemotongan paling besar sejak program itu diperkenalkan pada 1960-an.
Menurut beberapa anggaran, sehingga 17 juta rakyat Amerika berisiko kehilangan perlindungan insurans kesihatan, manakala puluhan hospital luar bandar dijangka terpaksa ditutup akibat tekanan kewangan daripada undang-undang itu.
Parti Demokrat berharap penentangan awam terhadap RUU berkenaan akan memberi kelebihan kepada mereka untuk merampas semula kawalan Dewan Perwakilan dalam pilihan raya separuh penggal pada 2026.
Nnn