MOSCOW – Arab Saudi menggesa gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza pada dan menekankan keperluan mendesak untuk menamatkan “penderitaan dahsyat” yang dialami rakyat Palestin susulan serangan berterusan Israel.
Menteri Luar Putera Faisal bin Farhan berkata keutamaan utama ialah “menghentikan pertumpahan darah di Gaza dan meringankan keadaan kemanusiaan yang mengerikan dihadapi rakyat Palestin.”
Bercakap pada sidang media bersama Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, Putera Faisal turut mengulangi sokongan tegas Kerajaan Arab Saudi terhadap penubuhan “negara Palestin berdasarkan sempadan Jun 1967,”.
Beliau menyifatkan perdamaian sebagai “pilihan strategik” bagi menyelesaikan konflik berdekad-dekad serta menamatkan pendudukan Israel.
Mengenai usaha normalisasi dengan Israel, beliau menegaskan bahawa “normalisasi mesti menjadi sebahagian daripada proses yang lebih luas dan membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin.
“Tanpa itu, ia tidak akan berlaku.” sambil mendedahkan bahawa Arab Saudi sedang berbincang dengan Perancis untuk menentukan tarikh sesuai bagi menganjurkan satu persidangan antarabangsa yang menumpukan kepada penubuhan negara Palestin dan keamanan serantau.
Putera Faisal turut menekankan bahawa dialog dan diplomasi perlu diutamakan bukan sahaja di Asia Barat tetapi juga di semua zon konflik.
Beliau juga mengetengahkan kepentingan kerjasama berterusan Arab Saudi-Russia dan memuji pendirian diplomatik Moscow yang konsisten.
Menteri Luar itu menambah bahawa Arab Saudi “bergantung kepada kepimpinan Presiden Donald Trump” untuk membantu membawa rantau ini ke arah penyelesaian muktamad konflik Israel-Palestin dengan mencapai penubuhan negara Palestin.
Perkembangan terbaharu ini berlaku ketika Kumpulan Palestin Hamas sedang meneliti cadangan daripada pihak perantara bagi mencapai perjanjian yang merangkumi gencatan senjata, pengunduran tentera Israel dari Gaza dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Hamas berulang kali menyatakan kesediaan untuk membebaskan semua tawanan Israel sebagai pertukaran kepada penamatan kempen ketenteraan Israel dan pengunduran sepenuhnya dari Gaza.
Namun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak perjanjian menyeluruh dan sebaliknya mendorong kepada pengaturan terhad yang membolehkan perang diteruskan, satu pendirian yang dilihat sebagai usaha untuk mempertahankan kelangsungan politiknya.
Nnn