Kematian pertama cacar monyet di Brazil

BRASILIA: Kementerian Kesihatan Brazil mengesahkan  kematian pertama negara itu berkaitan cacar monyet.

Setiausaha Eksekutif Kementerian Kesihatan, Daniel Pereira berkata mangsa adalah seorang lelaki yang mempunyai imuniti rendah dan komorbiditi.

Punca kematian yang diberikan adalah renjatan septik, diburukkan lagi dengan jangkitan cacar monyet.

Jelas Pereira, terdapat petunjuk bahawa sebab kematian berkaitan dengan virus itu dan pihaknya sedang menyiasat kelaziman komorbiditi ini dalam jangkitan berkenaan.

Brazil setakat ini mencatatkan 1,066 kes cacar monyet di 16 negeri, kebanyakannya di São Paulo.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengisytiharkan wabak cacar monyet yang semakin meluas sebagai kecemasan global.

WHO setakat ini melaporkan hanya lima kematian cacar monyet yang disahkan, semuanya di Afrika.

Brazil, bersama-sama dengan Amerika Syarikat dan Kanada, adalah antara negara yang paling terjejas oleh penyakit cacar monyet di benua Amerika, di mana lebih 5,000 kes telah dilaporkan setakat ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO).

Negara Amerika Selatan itu melaporkan 1,066 kes yang disahkan dan 513 kes yang disyaki penyakit tersebut, sebahagian besar (744) di negeri Sao Paulo, kata Kementerian Kesihatan.

Lebih 98 peratus daripada kes yang disahkan di negara itu melibatkan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, dengan purata umur 33 tahun, menurut data kementerian.

Menurut PAHO dalam taklimat media minggu ini hampir semua kes dilaporkan dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki berumur antara 25 dan 45 tahun, tetapi memberi amaran bahawa sesiapa sahaja boleh mendapat penyakit itu tanpa mengira jantina atau orientasi seksual mereka.

Related posts

Leave a Comment