JOHOR BBAHRU3 Julai – Hanya 39 peratus atau 585,000 daripada 1.5 juta perniagaan yang berdaftar di negara ini diusahakan usahawan Bumiputera, kata Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Zulfikri Osman.
Daripada 39 peratus itu, katanya, kira-kira 80 peratus membabitkan perusahaan mikro dengan pendapatan tidak melebihi RM300,000 setahun dan jumlah berkenaan dilihat masih kecil berbanding jumlah perniagaan berdaftar di Malaysia.
Katanya jumlah itu adalah data terbaharu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sekali gus memperlihatkan peranan penting agensi kerajaan termasuk Mara dalam membantu memperkasakan ekonomi usahawan Bumiputera.
Mara akan mengambil tanggungjawab meningkatkan jumlah usahawan Bumiputera negara ini dengan menyediakan ekosistem lengkap daripada latihan modal insan, pembangunan perniagaan dan jenama hinggalah penyediaan premis pada kadar subsidi.
“Oleh itu, Mara akan membantu usahawan mikro ini sekurang-kurangnya menjadi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Entrepreneurial Chill & Chat Mara, di sini hari ini
Program itu dihadiri lebih 300 usahawan pelbagai bidang terutama makanan dan minuman, gaya hidup selain kesihatan.
Dalam sesi berkenaan, Zulfikri turut berkongsi agenda Mara dalam membangunkan Bumiputera melalui pendekatan 3P, iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan.
“Mara membantu usahawan Bumiputera bukan sahaja menerusi bantuan dalam bentuk pinjaman modal, malah kita juga memberi latihan, geran, pensijilan, selain membantu peningkatan teknologi perusahaan mereka menerusi pelbagai dana dan skim yang disediakan,” katanya.
Antara isu lain dibangkitkan usahawan pada sesi itu adalah ketidakcukupan dana yang disediakan, bukan sahaja oleh Mara, malah agensi kerajaan secara umumnya untuk membantu meningkatkan perusahaan mereka.
Zulfikri berkata, Mara kini mempunyai hampir 60,000 usahawan di bawah bimbingannya yang dibantu melalui ekosistem pembangunan keusahawanan paling lengkap termasuk latihan, pembangunan perniagaan dan jenama serta khidmat nasihat.
“Untuk tahun ini, secara keseluruhannya Mara menyediakan peruntukan lebih kurang RM500 juta merangkumi latihan dan untuk pinjaman serta penyelenggaraan premis perniagaan.
“Kita juga ada 7,300 premis perniagaan Mara di seluruh negara bagi membolehkan usahawan Bumiputera berniaga dengan kadar sewa subsidi,” katanya.