KUALA LUMPUR 2 Julai – Kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara susulan persaraan wajib Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat semalam menunjukkan ketiadaan pelan peralihan kepimpinan yang jelas dan tepat pada masanya.
Majlis Peguam dalam kenyataan yang menyuarakan kebimbangan dengan kekosongan itu berkata, situasi itu mencerminkan kegagalan institusi dan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab, berkata pihaknya sudah menyatakan kebimbangan terhadap kelewatan dan sikap berdiam diri dalam hal-hal yang membabitkan kepimpinan kehakiman dan keyakinan awam.
“Malangnya, kebimbangan itu kini menjadi kenyataan. Kita kini berdepan situasi yang sepatutnya boleh dielakkan dalam sebuah demokrasi berperlembagaan yang berfungsi.
Badan Kehakiman bukan sekadar satu daripada tiga cabang utama kerajaan tetapi ia berperanan sebagai pelindung kepada kedaulatan undang-undang serta benteng terakhir dalam mempertahankan hak-hak perlembagaan.
“Kepimpinan institusi ini perlu ditangani dengan ketelusan, pandangan jauh dan penuh hormat. Peralihan kuasa yang lancar sepatutnya dipastikan sebelum persaraan Ketua Hakim Negara,” katanya.
Mohamad Ezri berkata, kegagalan berbuat demikian menghantar mesej yang membimbangkan bahawa institusi kehakiman boleh dibiarkan dalam ketidaktentuan tanpa menghormati peranan dan martabatnya.
Dalam pada itu, Majlis Peguam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap khidmat cemerlang Tengku Maimun.
“Beliau telah memimpin Badan Kehakiman dengan kebebasan, keberanian serta komitmen yang teguh terhadap keadilan.
“Integriti dan sifat tidak memihak yang ditunjukkan beliau telah memperkukuh keyakinan dalam kalangan warga perundangan dan masyarakat awam,” katanya.
Majlis Peguam turut mengiktiraf sumbangan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim yang telah menunjukkan dedikasi dan konsistensi dalam kepimpinan kehakiman sepanjang perkhidmatannya.
“Memandangkan kedua-dua mereka mencapai detik penting dalam kerjaya masing-masing pada bulan ini, kami merakamkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat mereka kepada negara.
“Bagaimanapun, prinsip kebebasan badan kehakiman bukanlah semata-mata bersifat simbolik. Ia satu jaminan perlembagaan yang menuntut perlindungan secara aktif.
“Kekurangan ketelusan berhubung keputusan untuk tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara serta kelewatan dalam pelantikan pengganti bukan sekadar isu pentadbiran tetapi ia berisiko menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi kehakiman.
“Tetapi ia ni adalah isu yang menyentuh teras tadbir urus negara,” katanya.
Pada masa sama, Majlis Peguam mengingatkan semua cabang kerajaan mengenai peristiwa kehakiman 1988 kekal sebagai peringatan berterusan tentang betapa rapuhnya kebebasan badan kehakiman apabila kewaspadaan terabai.
“Pengajaran daripada episod itu tidak boleh diabaikan. Sebarang tindakan atau kealpaan yang menimbulkan keraguan terhadap kebebasan badan kehakiman mesti ditangani segera,” katanya.
Menjelang sidang Parlimen yang akan berlangsung hujung bulan ini, kami menggesa semua Ahli Parlimen khususnya mereka yang berlatar belakang perundangan agar menyuarakan pandangan mereka.
“Sikap berdiam diri dalam menghadapi ketidaktentuan seperti ini berisiko menjadikannya satu kebiasaan yang berbahaya,” katanya.
Majlis Peguam turut menggesa pihak Eksekutif agar mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengembalikan keyakinan awam sambil mengingatkan bahawa kebebasan badan kehakiman tidak boleh dikompromi.
Nnnn