VIENNA – Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan pintu masuk ke terowong bawah tanah di kompleks nuklear Isfahan, Iran, terkena serangan udara Amerika Syarikat (AS) dalam operasi ketenteraan yang dilancarkan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi, IAEA menyatakan bahawa terowong tersebut digunakan untuk menyimpan sebahagian daripada stok uranium yang telah diperkaya oleh Iran.
“Kami telah mengenal pasti bahawa pintu masuk ke terowong bawah tanah di tapak tersebut telah terjejas,” kata Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi, dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB.
Grossi turut menegaskan bahawa Iran berhak mengambil langkah perlindungan terhadap bahan nuklearnya, selagi ia mematuhi kewajipan di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
“Langkah khas oleh Iran untuk melindungi bahan dan peralatan nuklear boleh dilakukan selaras dengan obligasi keselamatan mereka,” katanya.
Sebelum ini, pegawai Iran menyatakan bahawa mereka akan mengambil tindakan untuk melindungi bahan nuklear negara tanpa perlu memaklumkan kepada IAEA, mencetuskan kebimbangan terhadap ketelusan dan keselamatan bahan radioaktif tersebut.
Serangan ke atas Isfahan merupakan sebahagian daripada operasi ketenteraan AS yang menyasarkan tiga tapak nuklear utama Iran – Fordow, Natanz dan Isfahan – dalam usaha yang -dikatakan bertujuan melemahkan keupayaan nuklear Tehran.
Sementara itu, di TEHERAN – Parlimen Iran meluluskan penutupan Selat Hormuz kepada laluan trafik tentera laut susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga kemudahan nuklear.
Anggota Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen, Mejar Jeneral Esmaeil Kowsari, dalam kenyataan yang disiarkan oleh Press TV milik kerajaan berkata Parlimen telah mencapai kesimpulan bahawa Selat Hormuz perlu ditutup.
Selat Hormuz dianggap pintu masuk terpenting dunia untuk pengangkutan minyak.
Katanya, keputusan muktamad mengenai perkara ini terletak pada Majlis Keselamatan Tertinggi Negara, iaitu pihak berkuasa keselamatan tertinggi di Iran.
Presiden AS Donald Trump pada awal Ahad berkata tenteranya telah mengebom tiga tapak nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.
Serangan itu merupakan peningkatan terkini dalam serangan tentera Israel yang disokong AS ke atas Iran sejak 13 Jun, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas ke atas Israel.
